malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
ADS

“Takbir!” “Keadilan untuk Adib!” “Hidup Islam!”

Belum pun sempat doa selepas sembahyang Jumaat diaminkan, laungan itu sudah pun kedengaran di Masjid Putra tengah hari tadi.

Ia merupakan 'tembak mula' bagi Himpunan Suara Ummah ‘Justice4Adib’. Laungan itu - oleh seorang lelaki di pintu utama - disambut sebahagian jemaah yang berpusu-pusu keluar dari masjid.

Himpunan anjuran Gerakan Pembela Ummah (Ummah) itu bagi menuntut keadilan terhadap kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim pada 17 Disember lalu.

Perlahan-lahan mereka memenuhi dataran di depan masjid untuk mendengar ucapan pemimpin NGO - Timbalan Pengerusi Ummah, Kamaruzzaman Mohamad, diikuti Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid) Masridzi Sat sebelum ditutup oleh Pengerusi Ummah sendiri, Aminuddin Yahya.

Seperti dijangka mereka menyampaikan ucapan berapi-api, tetapi Masridzi mungkin boleh dianggap paling lantang apabila menggelarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy sebagai bapa rasis.

"Kita sering berdemonstrasi kerana pembunuhan umat Islam di Bosnia, Myanmar, Palestin. Tetapi hari ini kita mengalami tragedi yang amat menyedihkan.

"Kita merempat di tanah air sendiri, bukan setakat dihina. Bahkan nyawa Adib telah diambil mereka.

"Mereka ingatkan kita agar jangan rasis, tetapi saya nak ingatkan ambil tindakan dulu terhadap 'bapa rasis' itu. Siapa bapa rasis?"

Soalan itu disambut dengan jawapan "Waythamoorthy" oleh peserta himpunan.

Beliau juga berkata kesabaran orang Melayu sudah berada di tahap paling tipis.

"Di depan masjid ini kita bersumpah dengan nama Allah - jika mereka mencabar kita, sampai tahap kalau kita tidak bangun kita akan dipanggil Allah sebagai dayus.

"Tiada sabar lagi. Jika perdana menteri tidak memecat mereka, kita akan kerahkan seluruh kebangkitan umat untuk menjatuhkan dan mengajar golongan ini.

"Jangan sampai umat Islam mengambil undang-undang di tangan sendiri. Ini akan memberi padah yang buruk," katanya.

Aminuddin pula berucap dengan nada yang lebih tenang. Beliau menamakan tiga individu yang menurutnya bertanggungjawab terhadap rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada 26 November yang membawa kepada kematian Adib.

Tiga individu itu ialah Waythamoorthy, Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran dan Exco Selangor V Ganabatirau.

“Kerana ketiga-tiga manusia ini kita jadi huru-hara, kita berkumpul kerana mereka. Kematian allahyarham Adib juga disebabkan mereka,” katanya.

Adib ditugaskan ke lokasi rusuhan selepas sejumlah kenderaan dibakar pada rusuhan hari kedua pada 27 November. Menurut polis, Allahyarham diheret keluar daripada kenderaan dan dibelasah.

Waythamoorthy dituduh memburukkan ketegangan apabila beliau dan tiga lagi menteri mengkritik pemerhatian awal polis bahawa pergaduhan di kuil antara dua kumpulan masyarakat India.

Selepas ucapan, peserta himpunan mula berarak ke Pejabat Perdana Menteri - kira-kira 450 meter dari masjid - untuk menyerahkan memorandum.

Memorandum diserahkan kepada setiausaha politik perdana menteri, Abu Bakar Yahaya.

Bercakap kepada pemberita selepas himpunan, Aminuddin berkata Aminuddin menyatakan komitmen untuk menyerahkannya kepada Mahathir.

“Andai kata tidak ada tindakan dari kerajaan, kita akan buat tindakan besar-besaran lagi insya-Allah,” kata yang berharap tindakan akan diambil secepat mungkin," katanya lagi.

Penganjur mengumumkan hampir 1,000 yang menyertai himpunan itu, tetapi Malaysiakini menganggarkan jumlah kehadiran kira-kira 300.

Lihat Komen