Mahkamah Pilihan Raya di Pulau Pinang hari ini membenarkan Borang 14 untuk tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan parlimen Tasek Gelugor diteliti oleh mahkamah.
Difahamkan ini kali pertama mahkamah membenarkan Borang 14, yang merekodkan jumlah undi di pusat mengundi, diteliti.
Hakim Hashim Hamzah mengarahkan Borang 14 yang telah dimaterai dibuka di hadapan penolong pendaftar kanan Mahkamah Tinggi dengan kehadiran peguam pada 2 Januari.
Tiga DUN itu ialah Permatang Berangan, Sungai Dua dan Telok Ayer Tawar.
Mahkamah Persekutuan bulan lalu mengarahkan perbicaraan penuh untuk petisyen pilihan raya Tasek Gelugor susulan rayuan oleh Timbalan Menteri Luar Marzuki Yahya.