malaysiakini logo
story-image
ADS

*Tulisan ini merupakan bahagian terakhir dari tulisan sebelum ini.

ULASAN | Konsep Negara Islam bukan ditiru dari konsep Negara pada era salaf, sebaliknya konsep Negara Islam itu dicipta sendiri oleh ulama-ulama Islam, lalu disakralkan dengan disandarkan beberapa ayat-ayat al-Quran dan Hadis dalam menyatakan kewajipan konsep Negara tersebut.

Antara dalil-dalil mereka adalah seperti berikut:

Pertama, mereka merujuk kepada firman Allah swt yang menyatakan:

“Orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.” (Surah al-Hajj 22 : 41)

Ayat ini dijadikan hujah oleh mereka yang mengatakan kewajipan membina negara Islam. Jelas mereka, Negara Islam meletakkan asas empat perkara, iaitu (1) mendirikan solat, (2) menunaikan zakat, (3) menyuruh melakukan ma’ruf, dan (4) menghalang dari perkara mungkar.

Hakikatnya, pelaksanaan empat perkara tersebut tidak semestinya berlaku dengan kewujudan negara Islam. Malahan, empat perkara ini boleh dilaksanakan dalam negara yang diperintah oleh orang bukan Islam, malahan dapat dilaksanakan dalam negara sekular.

Justeru itu, dakwaan bahawa pelaksanaan empat perkara ini sebagai dasar kewajipan penubuhan membina negara Islam, memperlihatkan kelemahan dalam penghujahan.

Lebih-lebih lagi, ada sebilangan ulama Islam, seperti al-Imam al-Baghawi yang menyatakan bahawa apa yang dimaksudkan “makkannahum” atau diterjemah sebagai “kami teguhkan kedudukan mereka” itu tidak semestinya berbentuk membina negara.

Bahkan, sekadar mendapat bantuan sehingga mendapat keamanan dalam sesebuah negara pun, sudah termasuk dalam maksud ayat ini.

Lebih-lebih lagi, dilihat dalam kisah Nabi Yusuf yang dibeli oleh pemerintah Mesir sehingga mendapat bantuan keamanan, yang al-Quran bercerita kisah itu dengan menggunakan perkataan “Makkanna” juga.

Firman Allah:

“Dan orang Mesir yang membelinya berkata kepada isterinya: “Berikanlah kepadanya tempat (dan layanan) yang baik, boleh jadi dia bermanfaat kepada kita atau kita pungut dia sebagai anak.” Dan demikian pulalah Kami memberikan kedudukan yang baik kepada Yusuf di muka bumi (Mesir), dan agar Kami ajarkan kepadanya ta’bir mimpi. Dan Allah berkuasa terhadap urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahuinya.” (Surah Yusuf 12 : 21)

Jelas bahawa ayat ke 41, surah al-Hajj yang dijadikan alasan sebagai kewajipan membentuk Negara Islam adalah alasan yang rapuh.

Kedua, ada dari kalangan mereka berhujah, kewajipan Negara Islam itu kerana melihat kewajipan puasa tidak boleh ditunaikan kecuali mendapat pengesahan berpuasa bulan Ramadan itu perlu kepada pemerintah.

Perkara ini, mereka merujuk kepada perkataan Muhammad bin Abdul Wahab yang pernah berkata:

“Mereka tidak mengetahui seorang pun dari kalangan ulama yang menyebut bahawa sesuatu pun dari hukum-hukum tidak akan sah kecuali dengan wujud imam yang utama.”

Hujah yang rapuh

Hujah mereka ini amat rapuh. Ini kerana, dalam kalangan ulama fiqh ada menjelaskan bahawa seseorang individu muslim yang melihat anak bulan, menjadi kewajipan kepadanya untuk berpuasa, walaupun tidak diumumkan atau diiktiraf oleh penguasa atau sesebuah kerajaan.

Ibn Abd al-Bar menyatakan dalam al-Tamhid:

“Berkata Abu Omar, tiada kekhilafan dalam kalangan ulama, bahawa seseorang individu yang melihat anak bulan, lalu penyaksiannya tidak diterima, tetapi hendaklah dia berpuasa. Ini kerana, ibadat tersebut dibebankan kepada dirinya, bukan kepada orang lain.”

Begitu juga dengan penentuan syawal. Kata Ibn Abd al-Bar:

“Sesiapa yang melihat anak bulan syawal seorang dirinya, maka dia perlu berpuasa. Ini di sisi pendapat al-Syafie dan al-Hasan bin Hayy.”12

Al-Imam al-Nawawi berkata dalam al-Majmuk:

“Sesiapa yang nampak anak bulan ramadan seorang diri, wajib baginya berpuasa. Sesiapa yang nampak anak bulan syawal seorang diri, wajib baginya berhari raya. Perkara ini tiada khilaf di sisi kami, berdasarkan kepada sabda Nabi saw, berpuasalah dengan sebab nampak (anak bulan) dan berbukalah puasa (berhari raya) dengan sebab nampak (anak bulan), Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.”

Melihat kepada fatwa-fatwa ulama-ulama yang muktabar ini, jelas bahawa dakwaan keperluan membina negara Islam dengan alasan kewajipan puasa tidak boleh tertunai kecuali pengumuman dari kerajaan adalah dakwaan yang tidak tepat.

Dengan fatwa-fatwa ini, jelas bahawa seseorang individu muslim tetap boleh menunaikan puasa, walaupun dia berada di negara yang diperintah oleh non-muslim, ataupun negara sekular sepertimana wujud pada hari ini.

Ketiga, mereka turut berhujah dengan mendakwa kewajipan zakat tidak akan dapat ditunaikan tanpa wujudnya negara Islam. Memandangkan zakat adalah wajib, dan tidak tertunai kewajipan itu kecuali wujud Negara Islam, makanya mewujudkan negara Islam itu adalah wajib.

Dakwaan ini juga tidak kukuh, kerana dalam kalangan ulama fiqh ada menjelaskan bahawa kewajipan zakat boleh ditunaikan kepada asnaf-asnaf zakat, tidak semestinya melalui kerajaan.

Berkata Ibn Quddamah:

“Digalakkan bagi manusia bahawa mengagihkan zakat dirinya sendiri (tanpa melalui kerajaan), kerana atas keyakinan zakat itu sampai kepada orang yang berhak.”

Malahan, Ibn Quddamah menukilkan perkataan Ahmad bin Hanbal bahawa memberikan zakat kepada kerajaan adalah perkara yang harus sahaja.

Mereka berhujah lagi dengan menyatakan kewajipan kepada pemerintah merujuk kepada serangan Abu Bakar al-Siddiq kepada kalangan yang tidak membayar zakat. Hujah ini dijawab dengan penjelasan Ibn Quddamah:

“Tuntutan Abu Bakar kepada mereka agar (membayar zakat kepada kerajaan), kerana mereka tidak menunaikan zakat itu kepada orang yang layak. Andai mereka tunaikan kepada orang yang layak, sudah pasti Abu Bakar tidak memerangi mereka”

Dari penjelasan ini, jelas bahawa penubuhan negara Islam dianggap sebagai wajib dengan alasan tidak dapat menunaikan zakat adalah bersumberkan hujah yang rapuh. Lebih-lebih lagi, dalam amalan negara bangsa pada hari ini, dalam negara yang diperintah oleh orang bukan Islam pun, dibenarkan bagi komuniti muslim menubuhkan NGO yang berdaftar untuk menunaikan tanggungjawab agama mereka seperti zakat masing-masing dengan aman dan damai. Dengan ini, kewajipan menubuhkan Negara Islam seperti yang didakwa itu adalah tidak tepat.

Negara yang bukan negara Islam

Islam mewajibkan umat untuk membina negara, bukan membina Negara Islam. Konsep negara yang dikehendaki oleh Islam adalah negara yang diamalkan konsep maslahah kepada umat, tunaikan amanah kepada yang layak, berhukum secara adil, memberi kebajikan kepada rakyat, memastikan keamanan negara dan sebagainya.

Dalil-dalilnya adalah seperti berikut:

Pertama, kewajipan melantik ketua untuk mengurus sesebuah negara atau kerajaan adalah perlu. Ini kerana, dalam permusafiran yang terdiri dari bilangan yang sedikit pun disuruh oleh Nabi agar dilantik ketua, sudah pasti dalam bentuk kerajaan atau negara lebih dituntut.

Daripada Abu Said al-Khudri bahawa Nabi saw bersabda:

“Apabila tiga orang keluar dalam permusafiran, maka hendaklah dilantik salah seorang mereka sebagai ketua.”

Tujuan untuk melantik ketua dalam permusafiran, menurut al-Khattabi adalah untuk mengurus kekhilafan andainya berlaku. Makanya, demikian lagi dalam kerangka yang luas, seperti bernegara.

Kedua, dalam melantik ketua sebagai perkara penting bagi negara, Allah menjamin keamanan dan keselamatan kepada sesuatu negara yang dihuni oleh masyarakat bukan Islam, selagi penghuninya saling melakukan kebaikan.

Firman Allah:

“Dan Tuhanmu sekali-kali tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim, sedang penduduknya orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Surah Hud 11 : 117).

Dalam menafsirkan ayat ini, al-Imam Fakr al-Din al-Razi menyatakan bahawa negara itu bukan dihuni oleh muslim. Tetapi, tetap mendapat penjagaan dari Allah:

“Makna bahawa Allah tidak membinasakan penghuni sesebuah negara dengan semata-mata mereka musyrik, iaitu apabila mereka melakukan islah (kebaikan) dalam muamalat sesama mereka. Al-Hasil, sesungguhnya azab tidak diturunkan dengan sebab aqidah sesuatu kaum itu syirik atau kufur. Sebaliknya, azab diturunkan, apabila mereka buruk dalam muamalat dan berusaha melakukan kejahatan dan kezaliman.”18

Ketiga, Allah memuji kerajaan Balqis, walaupun ketika itu beliau tidak beragama Islam lagi.

Firman Allah:

“Sesungguhnya bagi kaum Saba’ ada tanda (kekuasaan Tuhan) di tempat kediaman mereka yaitu dua buah kebun di sebelah kanan dan di sebelah kiri. (kepada mereka dikatakan): “Makanlah olehmu dari rezki yang (dianugerahkan) Tuhanmu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya. (Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun.” (Surah Saba’ 34 : 15).

Dari nukilan ayat al-Quran dan hujah dari Hadis ini menunjukkan, kewajipan yang dituntut adalah membina negara. Adapun jenama Negara Islam, bukan sekadar tidak terdapat dalam pengamalan wahyu, malahan menggunakan label itu boleh memberi implikasi buruk pada imej Islam.

Ini kerana, sifat bagi Islam adalah wahyu dari Allah yang tidak akan berlaku sebarang kesilapan. Sedangkan, konsep negara mempunyai kaitan dengan pengurusan yang berada dalam tangan manusia yang boleh sahaja melakukan kesalahan. Justeru, menggabungkan terma “negara” yang boleh berlaku kesalahan dengan terma “Islam” akan melahirkan persepsi bahawa Islam adalah agama yang boleh melakukan kesalahan. Seperti, sesebuah negara yang menggunakan terma Islam, sedangkan pemerintahan itu melakukan kezaliman. Dengan itu, menjadikan non-muslim akan mengatakan bahawa Islam adalah agama yang cenderung kepada kezaliman, walhal perkara itu mustahil bagi Islam.

Lebih-lebih lagi, dalam fiqh ada menyatakan bahawa label atau jenama tidak penting. Yang penting adalah kandungannya. Kaedah menyebut:

“Pengajaran itu pada kandungan (substansi), bukan pada kulitan.”

Yang penting bagi sesebuah negara adalah keadilan, keamanan, kebajikan, kemaslahatan, kebahagiaan dan sebagainya. Soal jenama “Negara Islam”, bukan sekadar tidak diamalkan oleh wahyu, sebaliknya memungkinkan berlaku imej buruk pada agama islam ekoran kelemahan pentadbiran dalam negara tersebut.

Dari perbahasan ini, dapat disimpulkan seperti berikut:

Pertama, Islam tidak pernah menentukan sesuatu bentuk sesebuah kerajaan. Dengan sebab itu, dakwaan kewujudan negara Islam adalah sesuatu yang tidak benar.

Kedua, dalam pada itu, Islam ada meletakkan beberapa perkara dasar bagi sesebuah pemerintahan, iaitu memberi kebaikan, keadilan, kemaslahatan dan sebagainya kepada penghuni dalam sesebuah negara. Kesemua faktor ini boleh dilaksanakan dalam negara sekular dan sebagainya.

Ketiga, dakwaan mengatakan kewujudan negara Islam, didapati bentuk yang mereka pamerkan tidak jauh beza dengan konsep negara teokrasi. Ini sudah pasti bercanggah dengan dasar Islam yang tidak meletakkan kepercayaan bahawa agamawan sebagai wakil Tuhan dalam pemerintahan, sebaliknya berasaskan kepada kemaslahatan yang perlu dicapai. Ia sudah pasti dapat dilaksanakan, walaupun bukan melalui agamawan.


WAN JI WAN HUSSIN merupakan pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre. Tulisan ini dipetik dari saudara.org

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis atau organisasi yang diwakilinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen