malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ketua adat Jelebu mahu umum undang esok
Diterbitkan:  Dec 19, 2018 3:17 PM
Dikemaskini: 7:17 AM
ADS

Kepala Adat Jelebu Dato' Menteri Sah Mang­ku Alam Raja Sari Ismail Mohd Zain berkata beliau akan mengumumkan undang ke-16 Jelebu esok.

“Sehubungan itu, selepas meneliti surat daripada setiausaha kerajaan negeri dan menimbangkan pandangan ahli-ahli Dewan Keadilan dan Undang serta pembesar-pembesar adat Sungei Ujong, Johol dan Rembau, saya selaku kepala adat luak Jelebu akan mengumumkan undang luak Jelebu ke-16 pada majlis pengumuman undang luak Jelebu ke-16 di Kampung Kemin, Jelebu,” katanya.

Keputusan itu dibuat walaupun kedudukan Ismail sendiri dipertikaikan, seperti dilaporkan Utusan Malaysia kelmarin.

Akhbar itu melaporkan, Waris Maharaja Inda Ahmad Razin Aminudin berkata, surat jemputan mengenai pengumuman diedarkan atas nama Berhan Ujang sebagai Dato’ Maharaja Inda.

Bagaimanapun, kata Ahmad Razin, kedudukannya itu tidak sah kerana perca­lon­annya pernah ditolak oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan kerana tidak mengikut giliran perut.

Dalam kenyataan hari ini ini, Ismail berkata keputusannya mengarahkan Dato’ Lembaga Delapan Luak Jelebu berkerapatan bagi majlis esok dibuat selepas memperoleh surat setiausaha kerajaan negeri Sembilan pada 28 November lalu.

Beliau juga berkata telah menghadap beberapa ahli Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan dan bertemu pembesar-pembesar adat dari Luak Sungei Ujong, Luak Johol dan Luak Rembau bagi mendapatkan pandangan berhubung kekosongan jawatan undang Luak Jelebu.

“Ahli-ahli Dewan Keadilan dan Undang serta pembesar-pembesar adat Sungei Ujong, Johol dan Rembau memberi pandangan secara terus kepada saya akan keperluan mengumumkan undang luak Jelebu ke-16 lantaran perjawatan itu mempunyai kepentingan awam dan melibatkan kemuliaan takhta kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.

Ismail berkata majlis esok dijalankan mengikut aturan Kanun Adat Luak Jelebu dan Perkara 14 (1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Lihat Komen