malaysiakini logo
story-image
ADS

Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan Umno sudah tiada masa depan dalam politik tanah air.

Justeru, beliau mencadangkan supaya Umno dibubarkan berikutan masalah yang melanda parti itu ketika ini.

Jika Umno dibubarkan katanya, semua ahli parti itu boleh bersama PAS bagi memperjuangkan kepentingan Islam dan masyarakat di negara ini.

"Selepas PRU14 saya kata dah, Umno ini sudah tak ada masa depan dalam politiknya. Sekarang tempohnya (Umno) sudah berakhir. Kita memang berkawan sekarang ini sebab kita mengajak mereka demi kepentingan Islam.

"Sejak dulu lagi sebenarnya kita mengajak Umno bersama dengan kita dan keadaan sekarang ini sangat sesuai mereka tinggalkan Umno dan sertai PAS," jelasnya ketika diminta mengulas situasi Umno kini.

Beliau mengulas mengenai kemelut dalam Umno sehinggakan Ahmad Zahid Hamidi mengambil keputusan memberikan timbalannya, Mohamad Hassan menjalankan tugas presiden berkuat kuasa serta-merta, semalam.

Sementara itu ditanya mengenai hubungan PAS dan Umno selepas ini, Mohd Amar berkata, parti itu tidak mempunyai sebarang perancangan melibatkan gabungan antara kedua-dua parti tersebut.

Jelasnya, kerjasama yang dibuat sebelum ini hanya melibatkan isu kepentingan umat Islam di negara ini.

"PAS dengan sesiapa pun boleh bekerjasama, terutamanya melibatkan kepentingan agama dan negara. Itu memang kita dengan siapa pun boleh. Dengan Umno tiada isu. Kerjasama dalam isu yang perlu. Bergabung tak ada dalam agenda kita," katanya kepada media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu PAS mengadakan kerjasama dengan Umno antaranya melibatkan RUU355 dan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd), baru-baru ini.

Timbalan menteri besar Kelantan itu berkata, Islam sebagai dasar parti membezakan PAS dengan parti-parti lain.

"Walaupun mungkin kita mempunyai kelemahan dalam perancangan dan strategi, tapi kita ada kekuatan yang tiada pada parti lain iaitu Islam dan kita terbuka kepada semua kerana PAS tiada sentimen bahasa serta budaya.

"Sekarang cabarannya macam mana nak kita memasarkan perjuangan Islam supaya boleh diterima semua golongan di Malaysia. Kita nak orang sokong PAS dengan kefahaman, bukan dengan janji kerana kita tidak boleh janji bulan dan bintang, bukan seperti orang (parti) lain," katanya.

Lihat Komen