Pengiklanan

    SPRM tahan reman pegawai kanan Tabung Haji

    (Dikemaskini )

    Seorang pegawai pengurusan kanan Lembaga Tabung Haji bergelar Datuk direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan SPRM berhubung dakwaan kes rasuah berbentuk pengubahsuaian rumah bernilai RM400,000.

    Perintah tahanan reman sehingga Sabtu ini dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya.

    Pegawai terbabit direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

    Suspek tiba di pekarangan mahkamah Putrajaya kira-kira jam 9.45 pagi berpakaian kemeja lengan panjang.

    Menurut sumber SPRM, suspek menerima rasuah berbentuk pengubahsuaian rumah berjumlah RM400,000 sebagai balasan memberi projek kerja-kerja penjenamaan semula pejabat cawangan Tabung Haji kepada syarikat kontraktor melibatkan kos RM15 juta.

    Suspek dipanggil untuk memberi keterangan semalam dan ditahan pada jam 8.35 malam di ibu pejabat SPRM.

    Tabung Haji pada 30 Nov lalu membuat laporan polis berhubung penyalahgunaan wang dana jemaah haji dan salah nyata dalam perjanjian korporat.

    Laporan itu membabitkan bekas pengerusinya Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas ketua pegawai eksekutif Ismee Ismail dan Johan Abdullah; serta pengurusan kanan Tabung Haji.

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih