malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Khaled puji Zahid pemimpin berjiwa besar
Diterbitkan:  Dec 19, 2018 11:56 AM
Dikemaskini: 4:16 AM
ADS

Umno akan sentiasa menghargai dan berterima kasih atas tindakan Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berjiwa besar kerana menyerahkan tugas presiden timbalannya, kata Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin.

Dalam satu kenyataan hari ini bekas menteri besar Johor itu memuji langkah Ahmad Zahid kerana bertindak begitu melalui pengumuman dibuat anggota parlimen Bagan Datuk itu malam tadi.

Mohamed Khaled juga tidak lupa mendoakan Ahmad Zahid yang kini berdepan lebih 40 tuduhan jenayah rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah.

"Semoga Allah SWT memberikan kesabaran, kekuatan dan ketenangan kepada Datuk Ahmad Zahid Hamidi untuk menghadapi cabaran peribadi beliau," katanya.

Ahmad Zahid mula menjadi presiden Umno pada 1 Julai lalu selepas mendapat undi majoriti daripada 190 bahagian parti itu di seluruh negara.

Bagaimanapun kepemimpinan bekas timbalan Najib Razak itu gagal menyerlah dan menyatukan parti. Kegagalan calon yang dilihat sealiran dengan Ahmad Zahid juga menyukarkan beliau mengemudi Umno selepas hilang kuasa sepenuhnya di peringkat pusat, selain hanya bertahan hanya di Pahang dan Perlis.

Mohamed Khaled adalah antara pemimpin parti yang bersikap lebih lantang dan terbuka, termasuk pada penghujung kekuasaan Najib dalam Umno.

Selepas menjadi salah seorang daripada tiga naib presiden, Ahmad Zahid memberi tanggungjawab mengetuai Umno Perlis kepada Mohamed Khaled walaupun beliau mempunyai pengaruh di Johor.


Baca Zahid mengalah, serah kuasa pada Mat Hasan


Beberapa bekas menteri kanan pada era BN juga secara terbuka memberi tekanan kuat kepada Ahmad Zahid supaya berundur. Antara mereka ialah Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Hamzah Zainuddin.

Mohamed Khaled berkata segala jasa baik Ahmad Zahid selama ini akan tetap dikenang Umno.

"Dalam kesempatan ini, saya menyeru semua penyokong dan anggota parti - sama ada di peringkat cawangan, bahagian mahupun negeri - untuk bersama mendukung dan membantu Mohamad menjalankan amanahnya.

"Ini adalah permulaan kepada usaha mereformasi parti kita.

"Setelah lebih enam bulan menempuhi kekalahan dan pelbagai rintangan, diharapkan agenda mengislah parti akan terus subur di bawah kepimpinan baru ini," katanya.

Sementara itu Bendahari Umno Johor Md Jais Sarday menyeru anggota parlimen, dewan undangan negeri serta pemimpin yang meninggalkan Umno baru-baru ini kembali ke pangkuan parti berkenaan.

"Pulanglah kembali ke pangkuan keluarga besar ini demi kebangkitan Umno," katanya yang juga ketua Umno Kluang.

Seorang lagi pemimpin Umno Johor, Maulizan Bujang, berkata apa yang berlaku pada parti itu membuktikan jawatan presiden sangat penting bagi kelangsungan mereka.

Pilihan raya lepas membuktikan sebahagian besar rakyat menolak Umno dan BN kerana mereka tidak mahu presiden Umno pada ketika itu menjadi perdana menteri.

"Sebab itulah Umno kena sedar bahawa memilih pemimpin parti bukan berdasarkan populariti dalam parti sahaja, tetapi yang lebih penting ialah penerimaan rakyat.

"Kalau persepsi rakyat tidak baik maka presiden boleh menyebabkan parti kalah.

"Ini juga merupakan satu cabaran yang amat besar untuk Mohamad," katanya.

Lihat Komen