BERITA

Zahid: Umno kini berpecah kepada lima golongan

18 Dec 2018, 2:55 pm

Dikemaskini 2 tahun lepas

A
+
A
-

Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui partinya kini berpecah kepada "lima golongan" selepas kehilangan kuasa pada PRU14 lalu.

"Lima golongan ini, pertamanya, orang-orang Umno yang mahu kekal Umno sebagai sebuah parti," katanya menjelaskan golongan ini tidak mahu bergandingan tenaga dengan parti-parti lain.

Seterusnya, Zahid menjelaskan kategori golongan kedua dan ketiga di dalam Umno yang dilihat tidak ada masalah dengan Pakatan Harapan (PH).

"Yang kedua, mahu kita bergabung dengan salah sebuah parti di dalam PH.

"Yang ketiga, usaha supaya bergabung salah sepuah parti PH yang mempunyai kolaborasi dengan DAP," katanya.

Dipercayai, Zahid merujuk dua golongan dalam Umno itu kepada Bersatu dan PKR.

Ada kedai di dalam kedai

Seterusnya, anggota parlimen Bagan Datuk berkata golongan keempat di dalam Umno mahu parti itu menyertai PAS di dalam satu gabungan pembangkang.

"Yang keempat mahu bergabung dengan PAS sebagai pakatan pembangkang dan kelima ialah sebuah parti bergerak dalam suatu bentuk gabungan baru nanti, bukan sebagai pembangkang tetapi sebagai koalisi," katanya lagi.

Menurut Zahid, beliau menghormati perbezaan pendapat tetapi mereka perlu akur kepada keputusan akar umbi parti yang telah memutuskan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang tanpa sebarang kolaborasi.

Zahid juga berkata Umno tidak akan boleh bekerjasama dengan DAP yang merupakan sebahagian parti komponen PH.

"Umno tolak jika ada kerjasama dengan DAP. Kita tolak seratus-peratus," tegasnya.

Namun, Zahid turut merungut mengenai satu lagi golongan iaitu "pembangkang di dalam pembangkang."

"Tapi kita tahu ada kedai dalam kedai, ada pembangkang dalam pembangkang.

"Di mana harganya? Harganya setiakawan? Harga kesetiaan?" Soal Zahid.

Beliau turut mengingatkan wakil rakyat yang menang pilihan raya kerana Umno dan BN.

"Kita mesti bergerak sekarang ini sebagai pembangkang. Kita bina semula kekuatan kita," katanya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Komen