malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Rutin seorang lelaki yang bekerja sebagai pemetik buah bertukar kepada insiden mencemaskan apabila dia tiba-tiba pengsan di atas pokok duku petang tadi.

Dalam kejadian di Kampung Jubakar Darat, Pengkalan Kubor, Kelantan itu Eh Suk Ah Pelian, 34, dipercayai memanjat pokok duku bersama beberapa rakannya.

Bagaimanapun, Eh Suk tidak sedarkan diri secara mengejut dan bernasib baik kerana tersangkut di dahan pokok berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Raja Arisansahseni Raja Semail, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 5.14 petang.

"Sebaik tiba di lokasi, dua anggota penyelamat utama memanjat pokok dan melakukan teknik menyelamat menggunakan tali serta ikatan chair knot.

"Ketika kerja membawa turun dilakukan, mangsa sedarkan dan selamat setelah dibawa turun," katanya kepada Malaysiakini.

Ditanya mengenai punca kejadian, Raja Arisansahseni berkata, mangsa mungkin kepenatan selepas seharian menjalankan kerja memanjat pokok.

"Mangsa beritahu juga berkata ia mungkin disebabkan kesan kemalangan yang dihadapi sebelum ini.

"Sebaik dibawa turun, kami melakukan pemeriksaan umum dan mendapati dia dalam baik dan diserahkan kepada keluarga," jelasnya.

Lihat Komen