malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tiga sekawan 'lepak' bersama lagi?
Diterbitkan:  Dec 18, 2018 4:43 PM
Dikemaskini: 8:53 AM
ADS

Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, bekas anggota parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dilihat minum bersama di sebuah restoran di Bangsar tengah hari ini.

Nurul dilihat tiba dulu di Restoran Alexis di Bangsar Shopping Centre (BSC) kira-kira jam 12 tengah hari diikuti Rafizi dan disusuli Khairy tidak lama kemudian.

Mereka kemudian dilihat memesan minuman.

Namun sehingga jam 1.30 tengah hari, tidak dapat dipastikan sama ada mereka makan tengah hari bersama, lapor Berita Harian.

"Saya melihat Nurul tiba dulu, kemudian Rafizi disusuli Khairy tidak lama selepas itu. Tidak pasti sama ada mereka makan tengahari bersama.

"Ketika saya tinggalkan restoran itu pada jam 1.30 tengah hari, mereka masih di sana.

"Mereka kelihatan ceria sambil berbual," kata seorang pembaca Berita Harian yang turut merakam gambar mereka.

Ini bukan kali pertama mereka dilihat bersama meskipun Nurul dan Rafizi memiliki fahaman politik berbeza dengan Khairy.

Hubungan ketiga-tiganya juga dikatakan mesra sebagai rakan.

Rafizi minggu lalu dilapor berkata mereka bertiga memang kadang-kala ada berjumpa untuk makan tengah hari bersama.

'Kongsi aspirasi sama'

Dalam satu foto yang dimuat naik menerusi laman Twitternya pada Isnin minggu lalu, Rafizi berkata, meskipun daripada parti politik berbeza, namun mereka memiliki aspirasi yang sama.

“Kami berkongsi aspirasi yang sama, iaitu untuk melihat Malaysia yang mampu menjana kekuatan dari perbezaan yang kita ada, memahami penuh serta menghormati perbezaan tersebut,” katanya.

Semalam, ketika Nurul Izzah membuat kejutan apabila meletakkan jawatan sebagai naib presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Khairy turut memberi kata-kata semangat.

"Saya pasti apabila negara kita sudah bersedia untuk perubahan generasi dalam politik, Nurul Izzah akan kembali. Sangat sia-sia sekiranya beliau tidak kembali ke barisan depan politik," kata Khairy melalui Twitter.

Nurul pula membalas tweet berkenaan dengan menyifatkan Khairy sebagai individu yang banyak memberi inspirasi kepada kawan mahu pun lawan.

Terdahulu sebelum itu, Rafizi menulis surat terbuka kepada Khairy dan berharap agar bekas menteri belia dan sukan itu kekal di dalam Umno di tengah-tengah tindakan sekumpulan anggota parlimennya keluar parti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen