BERITA

Nabi pun pernah terpaksa tangguh janji, kata Khalid

M Fakhrull Halim dan Hariz Mohd

16 Dis 2018, 4:00 pagi

Dikemaskini 2 tahun lepas

A
+
A
-

KONVENSYEN AMANAH | Nabi pun pernah tidak dapat menunaikan janji, apatah lagi manusia biasa - itu jawapan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad terhadap cakap-cakap mengenai janji manifesto Pakatan Harapan (PH) yang belum dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Kata Khalid, kegagalan menunaikan janji itu bukanlah disengajakan, sebaliknya akibat kekangan semasa iaitu kerajaan tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi.

“Ada orang kata, kita tidak tunaikan janji.

"Nabi SAW pun dulu pernah bawa sahabat dari Madinah nak ke Mekah, (baginda) berjanji nak buat umrah, tetapi dihalang. Sampai di Udaibiyah, tidak dapat.

“Itu nabi! Apalah janji manifesto yang dibuat oleh manusia biasa," katanya.

Khalid yang juga anggota parlimen Shah Alam menegaskan PH memang komited mahu melaksanakan semua janji yang diikrarkan mereka sebelum pilihan raya umum lalu.

“Memang kita nak buat, tapi tak boleh, duit tak cukup.

"Bukan kerana Mat Sabu (Mohamad Sabu) belikan beg tangan Birkin untuk Kak Normah (isteri Mohamad),” katanya disambut tawa hadirin.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan sebagai pengarah komunikasi di Konvensyen Nasional Amanah 2018 di Hotel Casuarina, Ipoh hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid menjelaskan menteri-menteri sendiri terpaksa mengorbankan gaji dan elaun sebagai langkah penjimatan memandangkan keadaan kewangan negara yang teruk.

“Menteri sudah potong 10 peratus (gaji), elaun kita dalam parlimen kita dah potong. Banyak lagi kita dah potong. Ada rumah (sekalipun), duduk di kuarters dan potong RM4,000 sebulan.

"Kerana apa? Nak jimatkan duit. Duit tak ada. BN kata hutang hanya RM600 bilion, tetapi PH kata hutang ialah RM1 trilion. Kalau nak percaya BN, percayalah,” katanya.

Malah menurut Khalid, ada sesetengah pihak mempunyai tanggapan salah bahawa menteri menikmati kehidupan mewah sedangkan hakikatnya tidak sebegitu.

“Janganlah buat andaian (bahawa) menteri-menteri sedang berseronok- elaun banyak, gaji banyak.

“Saya bagitahu tuan-tuan, tiap-tiap bulan gaji saya tak sampai RM1,000 (yang) tinggal.

“Kerana apa? Kerana parti hendakkan duit, orang hendakkan duit. Semua hendakkan duit,” katanya lagi. 

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Komen