Pengiklanan

    PKR Perlis akan dirombak, lantikan individu baru

    (Dikemaskini )
    Berita

    Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri (MPN) Perlis yang baru, Amran Kamarudin berazam untuk sekurang-kurangnya mengekalkan kerusi yang dimenangi parti itu Mei lepas pada pilihan raya umum akan datang.

    Beliau yang juga ketua cabang PKR Padang Besar berkata akan menambah ranting (cawangan) parti sejajar dengan peningkatan sokongan parti berkenaan selain merombak kepimpinan parti peringkat negeri selepas ini.

    "Saya akan membantu rakan-rakan seperjuangan di negeri ini dan melantik beberapa individu baru yang boleh memikul bersama tanggungjawab memperkasakan parti," katanya di Padang Besar hari ini.

    Amran, 54, membuat kenyataan itu berikutan pelantikannya sebagai pengerusi baru Majlis Pimpinan PKR Negeri (MPN) Perlis menggantikan Mohammad Faisol Abd Rahman semalam.

    Pelantikan itu dikatakan dibuat atas rundingan antara presiden parti dengan ketiga-tiga ketua cabang PKR negeri.

    Amran sebelum ini pernah memegang jawatan naib ketua Cabang PKR Kangar pada tahun 2004 hingga 2007 dan Setiausaha Kerja PKR Perlis dari 2007 sehingga 2018.

    PKR Perlis memenangi tiga daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sena (Asrul Nizan Abd Jalil), Kuala Perlis (Noor Azam Karap) dan Indera Kayangan (Gan Ay Ling) di samping kerusi Parlimen Kangar (Noor Amin Ahmad).

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih