malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

ULASAN | Media-media berbahasa Inggeris terus paparkan artikel-artikel yang paranoid dengan wakil-wakil rakyat Umno yang keluar dari parti itu.

Apa motif tulisan-tulisan tersebut? Bukankah Lim Kit Siang pun akui bahawa Pakatan Harapan (PH) perlukan sokongan orang Melayu untuk terus hidup sebagai kerajaan lebih dari sepenggal?

Bukankah pemimpin veteran DAP itu juga berkata tiada masalah untuk warga Umno melompat ke PH asalkan bebas dari rasuah dan jenayah?

Adakah semua yang isytihar keluar Umno itu telah rasmi diterima masuk Bersatu? Jangan cepat sentap.

Baca dahulu penerangan serta kenyataan dari kepimpinan kerajaan PH. Hadam dahulu apa agenda yang lebih besar untuk kerajaan dan negara ini bergerak ke hadapan.

Kenapa Bersatu dibelasah?

Sedangkan Presiden Amanah Mohamad Sabu pun mengalu-alukan kemasukan bekas ahli Umno ke partinya. Maka kenapa pula hanya Bersatu yang dibelasah?

Anda risau apa sebenarnya? Kenapa rasa tergugat? Atau anda yang sebenarnya ada agenda lain?

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sudah keluarkan kenyataan rasmi bahawa kemasukan bekas pemimpin Umno ke dalam Bersatu itu akan melalui proses saringan yang menyeluruh dan ketat dengan kerjasama polis dan SPRM.

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir pun kata kita tidak akan terima mereka yang jahat dan korup dari Umno.

Ada yang bertanya apa perlunya PH ambil ahli-ahli parlimen Umno yang ingin keluar dari parti mereka?

Jawapannya ialah kerana kerajaan PH amat memerlukan majoriti 2/3 dalam parlimen bagi melicinkan proses penggubalan atau pindaan undang-undang negara ini.

Jika proses tersebut terbantut dek kerana bantahan ahli-ahli parlimen pembangkang maka banyak pembaharuan serta agenda penambah-baikan seiring dengan visi Malaysia Baru tidak dapat direalisasikan.

Bagi akar umbi dan para pejuang awal Parti Bersatu pula, berlapanglah dada, memang hakikat mana-mana parti politik pun akan membuka pintu kepada mereka yang layak dari segi perlembagaan serta peraturan parti.

Jika suatu ketika dahulu kita mungkin pernah kritik Umno kerana cuba menghalang kemasukan orang baru terutama mereka yang lebih berkelayakan untuk memimpin, maka janganlah kita ulangi perbuatan yang sama dalam Bersatu.

Percayalah kepada kemampuan diri kita sendiri. Inilah demokrasi.


DR MUHAMMAD FAIZ NA'AMAN ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan Ketua Biro Integriti Pemuda Bersatu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen