malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
KJ kepada Zahid: Tiba masanya untuk berundur
Diterbitkan:  Dec 15, 2018 3:46 PM
Dikemaskini: 7:46 AM
ADS

Khairy Jamaluddin mendesak Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatannya, selepas Presiden Umno itu tidak menunjukkan tanda akan akur dengan gesaan untuknya berbuat demikian.

“Berundurlah tuan, sudah tiba masanya (Step aside, sir. It’s time),” ciap Khairy di Twitter, hari ini.

Khairy turut berkongsi laporan media berhubung respons Zahid itu yang berkata beliau hanya boleh disingkir melalui perhimpunan agung Umno dengan sokongan dua pertiga perwakilan.

“Dulu desakan bercuti. Sekarang desakan letak jawatan. Yang boleh melucutkan jawatan saya hanyalah perhimpunan agung Umno sahaja.

“Ia mestilah dihadiri oleh dua per tiga perwakilan yang hadir dalam perhimpunan yang lalu,” kata Zahid seperti dipetik Sinar Harian hari ini.

Khairy yang tewas kepada Zahid dalam perebutan jawatan presiden Jun lalu telah beberapa kali menunjukkan bantahannya terhadap pendekatan Umno bawah pimpinan Zahid, antaranya kerjasama dengan PAS.

Terbaru, beliau menggesa agar Umno mengadakan pemilihan baru segera di saat seorang demi seorang pemimpin dan wakil rakyat parti itu mengambil langkah untuk keluar parti.

Sehigga kini sejumlah pemimpin dan 16 anggota parlimen Umno telah memutuskan untuk keluar parti itu baru-baru ini.

Umno yang merupakan parti terbesar di Dewan Rakyat sebelum ini - dengan 54 kerusi parlimen - kini tinggal 38 kerusi, di belakang PKR dan DAP.

Turut keluar ialah bekas menteri Hamzah Zainuddin. Beliau juga memberi amaran lebih ramai yang akan berbuat demikian jika Ahmad Zahid Hamidi tidak meletakkan jawatan sebagai presiden Umno.

Lihat Komen