malaysiakini logo
story-image
ADS

Tidak dapat dipastikan siapakah yang layak disandarkan istilah kayu dalam keadaan sekarang. Antara Ahmad Zahid Hamidi dan Umno, kedua-duanya - malah lebih daripada dua pun boleh - dapat diandaikan sebagai kayu.

Bukan sembarang kayu. Ahmad Zahid atau Umno - atau Ahmad Zahid dan Umno - ialah kayu tumbang. Dalam keadaan rebah dan lemah, kura-kura pun bercita-cita mahu memanjat.

Dan memang ada kura-kura memanjat kayu itu sekarang. Bukan main lagi segak dan ranggi kura-kura di atas kayu itu.

Ada banyak peribahasa atau bidalan yang boleh dipetik bagi menerangkan kesulitan dialami Umno sekarang. Bukan sekadar perumpamaan kayu tumbang dan kura-kura tadi.

Sebagai parti Melayu berbahasa dengan bidalan dan perumpamaan memang sesuai untuk Umno. Tambahan pula apabila Umno sekarang berkawan rapat dengan sebuah lagi parti yang menggunakan istilah "Islam" dan mempertegaskan falsafahnya sebagai pejuang bangsa.

Kehebatan presiden parti itu berkias, berbidalan dan bermetafora memang sukar benar dicabar. Itu belum lagi berbicara soal mantik dan mantuk.

Sebagai parti Melayu molek benar Umno berpencak dengan santun bahasa Melayu yang halus. Berkias-kias, berbidal-bidalan dan menyindir-nyindir.

PAS tak pernah silap

Sejak bertahun-tahun itulah salah satu kepakaran Umno - kecuali kalau dibandingkan dengan PAS. Tidaklah pelik kerana parti itu parti Melayu.

Apa lagi kebanggaan bangsa Melayu kalau bukan santun dan adab berbicaranya?

Cuma itulah, di situ duduknya kesilapan Umno waktu ini (cuma Umno, bukan PAS, sebab mana mungkin PAS boleh silap).

Apabila timbul isu 1MDB Dr Mahathir Mohamad dan kawan-kawannya tidak mengambil pendekatan berkias, berbidalan atau pukul anak sindir menantu.

Dalam aspek Mahathir, memang susahlah untuk beliau memukul anak untuk menyindir menantu sebab anak beliau sendiri jadi tukang pukul Umno.

Disebabkan kesilapan enggan bersantun itulah Mahathir dan kawan-kawannya disingkirkan. Lalu tinggallah Ahmad Zahid dan kawan-kawan dia pula berkias-kias dan berbidal-bidalan.

Hasilnya, memang di luar jangkaan. Ahmad Zahid dan Umno sama-sama tumbang. Sehari dua ini ramai juga kura-kura memanjat batang kayu yang tumbang itu.

Dan di sana kita dapat melihat untuk kali yang entah berapa ribu ahli Umno berkias-kias dan berbidal-bidalan. Mungkin mereka takut, tapi mungkin juga yang berkias-kias itu sebenarnya mempertahankan kesantunan bangsa.

Biadab benar kalau mengherdik pemimpin sendiri di khalayak umum.

Maka berbidalan dan berkiaslah orang Umno - dari yang bertaraf pemimpin atasan hingga bawahan. Mengacum hanya tergamak mereka lakukan secara rambang, tidak menyebut nama dan sembunyi-sembunyi.

Dua langkah mudah

Pemimpin Umno rela menunggu hingga lebih sedozen anggota parlimen mereka melompat keluar sebelum berani melafazkan dua patah perkataan dengan jelas: Zahid, berundurlah.

Itulah uniknya santun Melayu. Mereka menegur secara berlembut dan berkias kerana takut ada hati yang terluka. Namun itu bukanlah keunikan sebenar.

Keistimewaan teratas dalam amalan berkias dan berbidalan ini ialah, tiada piawaian yang jelas untuk menentukan sama ada mesej yang dihantar itu diterima atau tidak.

Semuanya main agak-agak.

Justeru Ahmad Zahid itu bolehlah berpura-pura cool, tenang dan kekal tersenyum seolah-olah segala bidalan dan kiasan yang dihamburkan oleh 'kura-kura' itu bukan untuk dirinya.

Hak orang ahli Umno ialah mengecam secara halus dan sopan, dan hak Ahmad Zahid dan kawan-kawan dia pula ialah berpura-pura tidak faham.

Maka kekal jugalah Ahmad Zahid sebagai presiden.

Sebenarnya untuk menyelamatkan Umno, parti itu hanya perlu mengambil dua pendekatan tegas.

Pertama: Keluar daripada sindrom penafian. Akui Ahmad Zahid gagal. Kalau dia masih tidak faham - atau buat-buat tidak faham, katakan kepadanya: Read my lips: Kamu dah gagal. Sila berundur segera. Jangan berkias-kias lagi.

Kedua: Berhenti berkawan dengan PAS. Sekurang-kurangnya buat sementara waktu sehingga Umno kembali bertatih. Buat masa sekarang Umno belum sampai ke tahap merangkak. Parti itu - selepas PRU lalu - baru pandai meniarap.

Mengapa perlu menjarakkan diri daripada PAS? Sebab parti itu sendiri sudah lama hidup dalam penafian. Berkawan baik dengan parti yang menghidap sindrom penafian akan menyebabkan penyakit itu berjangkit.

Untuk analogi bolehlah diandaikan PAS dan Umno itu seperti dua penumpang dalam kapal terbang yang sedang menjunam. Dalam keadaan cemas alat bantuan pernafasan sudah terkeluar dari tempatnya.

Langkah yang tepat ialah Umno menyarung alat berkenaan segera dan berikhtiar mencari jalan menyelamatkan diri. Masalahnya Ahmad Zahid sibuk mahu menyarungkan alat tersebut kepada PAS.


Baca Berasap di Pasir Salak


Umno pula tidak lama kemudian sedar dia terlupa membaca manual mengenai langkah keselamatan semasa kecemasan. Lalu dia berharap kepada PAS yang duduk di sebelahnya untuk mengajar.

PAS pula dengan bangganya berkata, dia tidak perlukan topeng pernafasan itu kerana matlamat mereka cuma mahu menaiki pesawat udara, bukan untuk menyelamatkan diri kalau ada kecemasan.

Dan kalau keadaan benar-benar terdesak, PAS ada acuan prosedur operasi standard tersendiri yang tidak akan dapat difahami oleh sesiapa pun.

Beberapa pemimpin Umno memang sedar akan hakikat tersebut. Justeru mereka bertindak meninggalkan Umno. Itu untuk yang berani. Untuk yang penakut, mereka cuma mampu membawang dalam kalangan orang yang dipercayai, atau menggumam dari pagi sampai petang.

Dan sementara menanti ada orang yang tepat untuk mengatakan ayat yang tepat kepada Ahmad Zahid, Umno kekal menjadi bahan ketawa semua orang.

Umno sekarang ialah lembaga "kaki pekuk lenggang ke perut".

(Jangan terkejut jika ada orang yang berkata, kita sebenarnya cemburu melihat PAS dan Umno bersahabat. Ya, betul sangatlah. Kita memang dah tak ada kerja lain sekarang kecuali sentiasa cemburukan kemesraan Umno dan PAS.)


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang berasal tidak jauh dari Bagan Datuk.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen