malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tinjauan: Waktu operasi baru UTC sukarkan pekerja pejabat
ADS

Berdasarkan tinjauan rambang Malaysiakini, rata-rata yang tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan memendekkan waktu operasi Pusat Transformasi Bandar (UTC) kepada jam 7 petang mulai awal tahun depan memberi alasan kekangan masa.

Sementara mereka yang bersetuju berkata mereka menyokong pelaksanaan waktu operasi baru itu sekiranya ia dapat menjimatkan kos kerajaan.

Tinjauan rambang ini dilakukan di UTC Shah Alam semalam.

Pekerja di UTC Emy Nooraqiera Natasha, 19, yang ditemui berkata, dia menyokong tindakan itu sebagai seorang pekerja namun tidak bersetuju sebagai pelanggan.

“Kalau sebagai seorang pekerja, mungkin saya setuju tapi kalau sebagai seorang pelanggan saya rasa kasihan kerana ada orang yang buat pasport (misalnya) terpaksa mengambil cuti.

"Lebih baik mereka selesaikan kerja dahulu kemudian sebelah malam barulah mereka boleh buat pasport. Jadi tiada pembaziran masa atau kena ambil cuti," katanya.

Farah Nuraishah Maarof, 22, (gambar) yang juga tidak bersetuju berkongsi alasan kekangan masa untuk berurusan di UTC dengan waktu operasi yang baru itu.

Tambah Farah yang bekerja sebagai penasihat jualan, waktu operasi baru itu akan menyebabkan UTC menjadi lebih sibuk pada hari minggu kerana orang ramai tidak sempat berurusan pada hari biasa.

"Macam tak setujulah, tapi sebab kita retailer, kita bukan cuti pada hari minggu. Masa kita hanya pada hari biasa.

"UTC tutup pukul 7 petang kita tiada masa untuk berkejar sama seperti mereka yang bekerja di pejabat. Mereka akan pergi Sabtu dan Ahad. Sabtu dan Ahad orang ramai jadi akan sesak,” ujarnya yang ditemui di UTC untuk membuat pasport.

Jeffri Yaacob (kanan)

Juruteknik kraf, Jeffri Yaacob, 52, yang turut tidak bersetuju berkata waktu operasi baru itu akan menyukarkan golongan yang bekerja waktu pejabat.

"Bagi saya tak setuju kerana kadang-kadang orang pejabat bila balik kerja UTC dah tutup jadi peluang mereka itu kira Sabtu dan Ahad sahaja,” ujarnya.

Waktu operasi terlalu panjang

Sementara itu, berkongsi pandangan berbeza, Asmawie Tormodi, 43, menyambut baik tindakan kerajaan melaksanakan waktu operasi yang baru itu.

Katanya, beliau pernah mengunjungi UTC pada waktu malam dan melihat hanya sejumlah kecil masyarakat yang berurusan dengan beberapa agensi.

Menurut Asmawie (gambar), sekiranya langkah tersebut dapat menjimatkan kos, sumber tenaga manusia dan pelbagai urusan dapat dipermudahkan, beliau menyokong keputusan kerajaan.

“Saya pernah pergi ke UTC selepas pada jam 8 malam tak ramai orang cuma beberapa agensi sahaja yang ada orang jadi kalau untuk menjimatkan kos saya setujulah cara itu.

“Saya nak cadangkan kalau dipendekkan masa cuma tambahkan sedikit kaunter ,” jelas Asmawie.

Mohd Ali Shahabuddin Isa, 23, yang merupakan pelajar IPTA juga bersetuju dan menyifatkan waktu operasi di UTC terlalu panjang.

Justeru, katanya, langkah menyingkatkan waktu operasi UTC boleh menjimatkan kos yang ditanggung oleh kerajaan.

“Kalau langkah itu boleh menjimatkan kos saya rasa patutlah. Lagipun waktu sampai 10 malam itu terlampau panjang untuk institusi kerajaan.

“Saya setuju dengan kerajaan sebab langkah itu boleh menjimatkan kos,” katanya.

Sebelum ini, bekas perdana menteri Najib Razak menyelar tindakan kerajaan memendekkan waktu operasi UTC dengan menyifatkannya sebagai menyusahkan orang ramai khususnya pekerja yang tidak mendapat pengecualian majikan untuk urusan peribadi pada waktu bekerja.

Ketika ini, UTC seluruh negara beroperasi bermula jam 8.30 pagi hingga 10 malam.


Lihat Komen