malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ahli parlimen Tanah Merah umum keluar Umno
Diterbitkan:  Dec 14, 2018 12:36 PM
Dikemaskini: 8:35 AM
ADS

Selepas kehilangan pemimpin dan wakil rakyatnya berturut-turut selama beberapa hari, nasib nampaknya terus tidak menyebelahi Umno.

Hari ini Anggota Parlimen Tanah Merah Ikhmal Hisham Abd Aziz mengumumkan keluar parti dan meletakkan jawatan sebagai ketua Umno di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, Ikhmal tidak membayangkan langkah seterusnya kerana belum memikirkan untuk menyertai mana-mana parti lain selepas ini.

"Saya hari ini hanya mengisytiharkan keluar daripada Umno dan saya meletakkan jawatan dan keluar umno.

"Saya tak kata nak masuk parti mana. Yang itu saya akan fikir pada masa yang sesuai," katanya dalam satu sidang media menerusi video di Facebook hari ini.

Dalam video tersebut Ikhmal Hisham - yang dilihat mengesat air matanya - berkata tindakan diambil itu merupakan keputusan yang sukar untuk dilakukan.

Katanya langkah tersebut diambil selepas dia mengadakan perbincangan dengan anggota jawatankuasa Umno di situ serta bekas pemimpin kanan Umno, Mustapa Mohamed.

Mustapa sudah meninggalkan Umno sejak September lalu.

Kuatkan Melayu, Islam

Pada 12 Disember, Umno Sabah 'lumpuh' apabila pengerusinya Hajiji Mohd Noor bersama sekumpulan wakil rakyat dan ketua bahagian meninggalkan parti itu untuk menjadi anggota politik bebas.

Tindakan tersebut melibatkan lima anggota parlimen, sembilan Adun dan dua senator.

Semalam, ketua puteri Umno yang juga merupakan anggota parlimen Masjid Tanah menyertai Bersatu selepas menjadi wakil rakyat bebas apabila meninggalkan Umno pada 1 Julai.

Sementara itu, Ikhmal turut menafikan dakwaan dia didekati mana-mana parti sebelum mengumumkan keputusan keluar Umno.

"Setakat ini tak ada. Saya tak ada jumpa (Presiden PKR) Anwar Ibrahim, (Pengerusi Bersatu) Mahathir Mohamad, (Presiden Amanah Mohamad Sabu) Mat Sabu dan saya tak jumpa (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng," katanya.

Ikhmal Hisham berkata dia melihat keputusannya hari ini sebagai jalan terbaik untuk penduduk Tanah Merah dan tidak lihat akan semula bersama Umno.

"Buat masa ini saya baru umum keluar parti, letak jawatan. Saya rasa untuk kembali itu tidak timbul lagi hari ini," katanya apabila ditanya sama ada akan kembali dengan Umno.

Ikhmal Hisham juga berharap orang ramai faham dengan tindakannya walaupun berasakan banyak pihak melihat ia merupakan satu tindakan yang tidak betul.

"Apabila saya nak buat keputusan, memang perkara yang amat sukar bagi saya. Mereka ni (Umno Tanah Merah) dah jadi macam adik-beradik saya, keluarga saya.

"Mereka bersama saya meninggalkan untuk berpisah bukan perkara yang mudah.

"Tapi saya memikirkan jalan yang saya ambil ini adalah jalan yang terbaik untuk meneruskan jalan untuk bantu Tanah Merah. Usaha ini adalah untuk menguatkan kuasa orang Melayu dan Islam," katanya.

Sementara itu, Badan Perhubungan Umno Kelantan turut menyuarakan kekecewaanya berhubung keputusan Ikhmal itu.

Pengerusinya Ahmad Jazlan Yaakub turut memohon kepada semua ahli Umno khususnya di negeri itu supaya bersabar dan beristiqamah dalam perjuangan ini bersama parti.

"Yakinlah, masa depan Umno masih cerah. Yakinlah, kita akan kembali bangkit dan mentadbir negara ini untuk meneruskan agenda membangunkan negara," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Lihat Komen