malaysiakini logo
story-image
ADS

KONVENSYEN AMANAH | PAS dan Umno terpaksa menggunakan sentimen agama serta perkauman bagi memastikan kelangsungan mereka, kata Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Menurut Mohamad, kedua-dua parti terbabit kini menunjukkan mereka tidak keberatan jika amalan salah laku dan rasuah itu dilakukan orang Melayu.

Bagi mereka kata Mohamad individu terbabit perlu disokong kerana sebagai orang Islam mereka juga akhirnya akan ke syurga.

"Akhirnya penyamun pun kita kena sokong asal dia Melayu dan Islam.

"Inilah pandangan yang akan bawa celaka kepada bangsa," katanya semasa meyampaikan ucapan dasar di Konvensyen Amanah di Ipoh, Perak hari ini.

Amanah ialah parti yang ditubuhkan oleh sekumpulan bekas pemimpin kanan PAS yang disingkirkan perwakilan pada 2015 kerana dianggap cuba merosakkan parti berkenaan.

Semasa berlaku krisis dalaman PAS pelbagai tuduhan dan label dikenakan ke atas tokoh seperti Mohamad dan lain-lain, termasuk "jebon".

Kecam pengkhianat bangsa

PAS ketika itu juga menegaskan parti itu akan menjadi bertambah kuat jika memutuskan hubungan kerjasama dengan parti pembangkang lain.

Namun PRU ke-14 lalu menyaksikan Amanah membentuk kerajaan bersama parti komponan Pakatan Harapan manakala PAS bekerjasama dengan Umno.

Mohamad yang juga menteri pertahanan berkata penyokong PAS dan Umno juga ditanamkan kefahaman bahawa kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam tidak perlu disokong.

Alasannya: kerana pelaku itu bukan Islam mereka akhirnya akan masuk neraka juga.

Mohamad juga menegur sikap orang Melayu yang masih berdiam diri apabila pelbagai agensi yang ditubuhkan untuk membantu kaum itu dikhianati.

"Skandal kewangan dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku dalam institusi-instusi seperti Felda, Lembaga Tabung Haji, Felcra dan tentunya 1MDB sepatutnya menjadi agenda besar pejuang-pejuang Melayu dan pemimpin-pemimpin Islam.

"Kita mengharapkan pejuang-pejuang Islam dan pejuang-pejuang Melayu tampil ke hadapan, bersuara mengecam pengkhianatan ini dan bersama-sama dengan kerajaan PH membuat perubahan untuk mengembalikan hak rakyat dan sebahagian besarnya hak orang Melayu," katanya.

Lihat Komen