Pengiklanan

    Mahkamah beri dua bulan untuk Musa pindah kes ke mahkamah tinggi

    (Dikemaskini )

    Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini memberi tempoh dua bulan kepada pihak pembelaan yang mewakili bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman untuk membuat permohonan memindahkan kes rasuah berhubung kontrak konsesi balak berjumlah US$63,293,924 (RM263,460,962.313) ke Mahkamah Tinggi.

    Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas peguam Francis Ng Aik Guan memberitahu bahawa pihaknya belum membuat keputusan untuk memindahkan kes berkenaan kerana masih menunggu kesemua dokumen berkaitan kes itu diserahkan oleh pihak pendakwaan.

    Mahkamah menetapkan 20 Feb 2019 untuk sebutan semula kes bagi mengetahui perkembangan perkara itu.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran memaklumkan beberapa dokumen telah diserahkan dan pihaknya memerlukan masa untuk menyerahkan sebahagian lagi dokumen yang berkaitan kepada pihak pembelaan.

    Beliau juga memaklumkan pihaknya tidak mempunyai bantahan sekiranya pihak pembelaan membuat permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

    Pada 5 Nov lepas, bekas Ketua Menteri Sabah itu mengaku tidak bersalah atas 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di negeri berkenaan berjumlah US$63,293,924 (RM263,460,962.313).

    Bagi kesemua pertuduhan itu, Musa didakwa memperoleh rasuah daripada lapan pemilik syarikat konsesi balak dan dia dituduh melakukan kesalahan itu di lapan institusi kewangan di Hong Kong dan Singapura antara 20 Dis 2004 dan 6 Nov 2008.

    Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan jika ia dapat dinilai dalam bentuk wang, atau denda RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    - Bernama