malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MB pelik BN dulu biar saja tanah kerajaan diceroboh
ADS

WAWANCARA | Selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri hasil kemenangan Pakatan Harapan pada 9 Mei lalu, Ahmad Faizal Azumu sedar ada cabaran besar menantinya.

Masalah tadbir urus kerajaan, kewangan - dan rupa-rupanya - pencerobohan tanah kerajaan yang berleluasa selama bertahun-tahun.

Kata menteri besar Perak itu isu pencerobohan tanah kerajaan bukan saja ada dalam kalangan petani atau pekebun kecil sebaliknya turut melibatkan syarikat korporat yang besar.

Jumlahnya: ribuan hektar. Tempohnya: sejak puluhan tahun silam.

Hal itu katanya kepada Malaysiakini terdedah kadang-kadang secara kebetulan. Misalnya apabila ada pelabur yang menyatakan minat untuk membangunkan kawasan-kawasan tersebut yang dizonkan sebagai pusat industri.

“Apabila kerajaan negeri periksa, rupa-rupanya ada ‘penumpang’ yang buat kebun sawit, pokoknya pun dah besar.

"Ada juga yang buat industri penternakan yang nilainya jutaan ringgit," katanya.

Mahu hasil kembali pada rakyat

Jika itu belum mengejutkan, Ahmad Faizal ada maklumat lain.

“Ada juga pihak yang meneroka tanah kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu, pecahkan lot, kemudian sewakan pula kepada orang ramai. Seolah-olah dia pula jadi kerajaan.

"Inilah antara perkara yang kerajaan negeri perlu tangani,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Malaysiakini pada Isnin.

Menurut beliau, segala hasil daripada kegiatan haram di tanah kerajaan itu tidak pernah dikutip oleh kerajaan tedahulu.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal menjelaskan, sebagai menteri besar, beliau lebih suka mengambil pendekatan bijak bagi menangani masalah tersebut agar pada akhirnya yang mendapat manfaat ialah rakyat.

“Misalnya seseorang itu meneroka tanah A yang luas dan berjaya menjana ekonomi yang baik di situ, sudah ada pekerja dan sebagainya, maka itu juga (bertepatan) dengan dasar kerajaan untuk membuka tanah bagi membantu rakyat.

“Jadi apa kita boleh lakukan, kerajaan negeri beri kelulusan tanah itu kepada GLC ataupun syarikat berkepentingan kerajaan, kemudian bekerjasama dengan orang tersebut agar hasil tanah dapat balik kepada kerajaan dan seterusnya dapat digunakan untuk membantu rakyat,” katanya lagi.

Serah pada balu

Apabila ditanya adakah semua wakil syarikat yang terlibat telah dipanggil bagi membincangkan penyelesaian masalah penggunaan tanah secara haram tersebut, beliau mengakui ia bukan satu hal yang mudah.

“Belum semua (dipanggil). Bukan mudah untuk lakukan di seluruh negeri.

"Ceritanya semua berbeza, jadi jangan buat polisi sama rata untuk semua. Kita tangani satu pada satu masa, pendirian saya begitu,” kata Ahmad Faizal.

Begitupun, pendekatan yang lebih ringan diambil terhadap kes penggunaan tanah kerajaan negeri yang melibatkan petani-petani kontan dan penduduk dengan Lesen Pendudukan Sementara (TOL).

“Ada rakyat yang tinggal di tanah TOL sejak sekian lama. Selagi ia tidak termasuk sebagai kawasan yang mempunyai kepentingan ramai, rizab sungai, jalan atau dewan, kita ambil keputusan memberikan semua tanah TOL ini geran hak milik.

“Kerajaan negeri juga mendapati ada ramai petani kontan yang terpaksa berkebun dalam tanah haram, menanam cili padi, sawi dan sebagainya. Kita perlu bantu mereka ini.

“Saya mesti cari jalan untuk beri mereka tanah untuk mereka teruskan ke kebergantungan mereka. Cuma saya hendak tekankan juga, kadang-kadang mereka perlu sanggup untuk berhijrah dan sebagainya.

“Pengorbanan daripada kedua-dua belah itu perlu, (baik daripada pihak) kerajaan dan juga mereka,” tambahnya.

Setelah berdepan dengan masalah-masalah tersebut, Ahmad Faizal tidak dapat menyembunyikan kepelikannya kenapa pihak kerajaan terdahulu tidak dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan kemelut yang membelenggu penduduk.

“Contohnya tanah TOL, beri sajalah mereka (penduduk) tanah itu, kerajaan negeri akan dapat duit premium, dan mereka pula dapat bina yang lebih besar, boleh pajakkan ke bank untuk buat rumah lebih baik, dan sebagainya. Kenapa tak dibuat (sebelum ini)?

“Saya ada bagi geran hak milik kepada penduduk Felda di Gerik, mak cik-mak cik ni datang menangis. Sudah tinggal di situ lebih 40 tahun, tetapi suami mereka tak sempat tengok geran tanah. Saya terpaksa beri pada balunya saja.

“Agak sedihlah. Sedangkan perkara itu sangat mudah (untuk diselesaikan). Nak buat atau tak nak buat sahaja,” katanya lagi.


Temu bual ini turut disertai Al-Abror Mohd Yusuf, Abraham Sebastian dan Norman Goh.

Lihat Komen