malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda Umno Sabah kekal bersama Umno
Diterbitkan:  Dec 13, 2018 8:02 AM
Dikemaskini: 12:09 AM
ADS

Pergerakan Pemuda Umno Sabah menyatakan pendirian untuk kekal bersama perjuangan Umno dan bertekad untuk menjadi benteng terakhir parti itu.

Ketua Pemuda Umno Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain berkata walaupun sebahagian daripada anggota Umno telah mengambil keputusan meninggalkan parti namun Pemuda Umno akan kekal bersama dan terus melakar perjuangan parti itu di negeri ini.

“Kami juga bersedia untuk mengisi segala ruang yang ditinggalkan oleh mereka yang meninggalkan perjuangan serta amanah yang diberikan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata Pemuda Umno harus istiqamah dengan perjuangan parti Umnodan tidak akan berganjak kerana Umno masih disayangi oleh majoriti rakyat di Sabah.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri Umno negeri Fadilah Sarbi berkata pergerakan puteri belum membuat keputusan sama ada mengikut jejak langkah kepimpinan Umno negeri yang mengumumkan keluar daripada parti itu hari ini.

Beliau berkata buat masa ini pergerakan puteri mengambil ketetapan untuk bertenang dengan perkembangan terkini.

“Dalam perkara ini, terpulang kepada ketua-ketua Puteri bertindak untuk menentukan hala tuju dan pendirian masing-masing. Pergerakan Puteri Bahagian akan membuat keputusan setelah selesai mengadakan perbincangan bersama bahagian dan ahli-ahli Puteri Umno dan mendapat maklum balas daripada mereka,” katanya.

Sebelum ini, bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Hajiji Noor bersama anggota Parlimen, Adun dan Senator serta beberapa pemimpin Pemuda daripada Umno mengumumkan keluar daripada parti itu berkuatkuasa hari ini.

Mereka yang kini menjadi ahli bebas menzahirkan sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan dan kepimpinan negeri yang diterajui oleh Parti Warisan pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

-- Bernama

Lihat Komen