malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MASSB tuntut RM36.1 juta PSC tidak dibayar dari AirAsia, AirASia X
Diterbitkan:  Dec 12, 2018 7:11 AM
Dikemaskini: Dec 12, 2018 12:24 AM
ADS

Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB) menuntut tunggakan berjumlah RM36.1 juta bagi caj perkhidmatan pelanggan (PSC) yang tidak dikutip daripada AirAsia X Bhd (AAX) dan anak syarikat AirAsia Group Bhd, AirAsia Bhd (AAB).

MASSB telah menyerahkan dua writ saman bagi menuntut RM26.71 juta dan RM9.39 juta masing-masing kepada AAX dan AAB bagi PSC yang tidak dikutip di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia semalam, AirAsia Group dan AAX berkata PSC RM50 bagi setiap penumpang antarabangsa bukan dari negara ASEAN telah dikutip dan dibayar kepada MASSB, dan mereka akan mempertahankan prosiding itu kerana tuntutan itu dibuat tanpa justifikasi dan tidak munasabah.

“Bagaimanapun, MASSB mahu AAX dan AAB mengutip RM23 lagi bagi setiap penumpang berkuat kuasa Julai 2018, yang kami belum kutip dan tidak akan kutip.

“Kami percaya, sepertimana orang awam Malaysia, dan telah beberapa kali menegaskan kepada MASSB, bahawa klia2 ialah lapangan terbang tambang rendah dan caj dikenakan sepatutnya mencerminkan tahap perkhidmatan diberikan,” katanya dalam makluman itu.

AirAsia Group dan AXX masing-masing berkata mereka berhasrat untuk mengemukakan tuntutan balas terhadap MASSB berhubung dengan infrastruktur dan keadaan di lapangan terbang dan operasinya, termasuk kecacatan pada apron, penutupan landasan secara rawak, kerosakan pada pesawat dan kebocoran paip saluran bahan api.

“Kami percaya jumlah tuntutan ini jauh mengatasi tuntutan dibuat MASSB.

“Kami telah cuba – tanpa sebarang kejayaan – banyak kali untuk berbincang dengan MASSB berhubung isu ini, namun apa yang amat dikesali adalah MASSB memutuskan untuk membawa isu ini ke pentas awam dengan memulakan tindakan undang-undang,” katanya dalam makluman itu.

-- Bernama

Lihat Komen