malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pinda laporan audit 1MDB: Najib, Arul Kanda didakwa esok
Diterbitkan:  Dec 11, 2018 12:20 PM
Dikemaskini: 7:40 AM
ADS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bekas Perdana Menteri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekuitf 1MDB Arul Kanda Kandasamy akan didakwa esok berhubung dakwaan meminda laporan akhir audit 1MDB.

"SPRM telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh Najib dan Arul Kanda di mahkamah esok.

"Kedua-dua mereka bakal menghadapi pertuduhan bersama berhubung kes pindaan laporan akhir audit 1MDB," kata SPRM dalam kenyataan.

Semalam, SPRM menahan Najib ketika memberi keterangan berhubung kes itu. Arul Kanda pula ditahan sebentar tadi.

Langkah itu hanya dua minggu selepas Ketua Audit Negara Dr Madinah Mohamad mendakwa mereka terlibat dalam kegiatan meminda laporan akhir audit 1MDB, antara Februari dan Mac 2016.

Najib didakwa mengarahkan pembuangan bahagian yang mengandungi dua versi penyata kewangan 2014 syarikat itu.

Arul Kanda pula didakwa bertemu pasukan audit Jabatan Audit Negara pada 24 dan 25 Mac, dan 1 Mac 2016, ketika pengubahan laporan dibuat.

Semalam, sumber SPRM memberitahu Malaysiakini Najib dan Arul Kanda mungkin didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM kerana ia mengandungi elemen suapan, walaupun bukan berbentuk wang.

Hukuman bagaimanapun mengikut Seksyen 24 akta tersebut yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan.

Ini merupakan kes keempat Najib, dan kes pertama buat Arul Kanda, berkaitan 1MDB.

Lihat Komen