malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dividen LTAT turun sebab pasaran saham tempatan tak menenttu - Menteri
Diterbitkan:  Dec 11, 2018 12:14 PM
Dikemaskini: 4:14 AM
ADS

PARLIMEN | Penurunan pemberian dividen oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) selama tiga tahun berturut-turut bermula 2015 disebabkan penurunan hasil daripada dividen syarikat pelaburan dan aktiviti penjualan ekuiti berikutan ketidaktentuan pasaran saham tempatan, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Katanya aktiviti penjualan saham dan dividen daripada syarikat pelaburan merupakan antara sumber pendapatan terbesar LTAT selain penjualan hartanah, faedah atas simpanan deposit serta sewaan bangunan dan hartanah.

“Bagi tempoh tiga tahun kebelakangan ini, 2015-2017, pendapatan LTAT yang diterima daripada pulangan dividen melalui syarikat pelaburannya dan aktiviti penjualan saham telah terjejas akibat ketidaktentuan prestasi pasaran saham tempatan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahmad Amzad Mohamed (PAS-Kuala Terengganu) berhubung faktor-faktor penurunan keuntungan bersih LTAT dan kejatuhan dividen kepada pencarum selama tiga tahun berturut-turut.

Bagaimanapun, Mohamad berkata Lembaga Pengarah dan pengurusan LTAT akan terus berusaha untuk mengenal pasti bentuk pelaburan baharu yang menguntungkan dan berdaya maju dan menyemak semula pelaburannya dari semasa ke semasa untuk memastikan pelaburan yang dibuat selamat dan memberi pulangan yang sebaiknya.

“Saya sendiri telah mengambil langkah menyusun semula pentadbiran LTAT supaya lebih baik dan efisien. Kita akan memastikan LTAT berada pada tahap yang lebih baik pada Februari tahun depan untuk (tahun kewangan) 2018,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Amzad mengenai kesediaan kerajaan untuk mempertimbangkan opsyen tambahan dalam bentuk bonus tunai berbanding unit amanah saham pada masa ini, Mohamad berkata skim pemberian dividen dalam bentuk unit amanah saham akan diteruskan kerajaan kerana ia memberi manfaat jangka panjang kepada pencarum LTAT.

- Bernama

Lihat Komen