"Saya adalah orang baik, mengenali (Dr) Ibrahim Ali anda akan jatuh cinta," begitu kata Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menegaskan yang beliau bukan seorang rasis seperti mana digambarkan oleh pihak tertentu.
Ibrahim berkata perjuangan Perkasa juga tidak bersifat rasis atau pun perkauman.
"Saya bukan rasis, rakan kongsi perniagaan saya orang Cina, pemandu saya orang India.
"Saya ambil isu ini (menolak pemansuhan hukuman mati) atas dasar prinsip keadilan," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Sebaliknya dakwa Ibrahim beliau sering menjadi mangsa media sosial yang melabelkannya sebagai seorang rasis dan bersifat perkauman.
Perkasa desak kerajaan pecat Waythamoorthy
Katanya, serangan di media sosial dimainkan oleh "cyber trooper" upahan menjelang pilihan raya umum (PRU) lalu agak hebat memandangkan beliau turut bertanding.
Perkasa ditubuhkan Ibrahim yang juga bekas ahli parlimen Pasir Mas pada September tahun 2008.
Perkasa memperjuangkan hak-hak orang Melayu, Bumiputera termasuk perkara 153 yang termaktub dalam Perlembagaan Pesekutuan.
Pada Ogos lalu, Ibrahim turut menubuhkan Parti Pribumi Perkasa (Putra).
Terbaru, Perkasa mendesak kerajaan supaya memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Wathyamoorthy yang mengeluarkan kenyataan menyalahkan pihak polis lambat bertindak terhadap rusuhan kuil di Subang Jaya baru-baru ini.
Waythamoorthy mendakwa polis tiba selepas dua jam pergaduhan berlangsung.