malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hukuman mati: Perkasa tuntut k'jaan buat pungutan suara
ADS

Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya mengadakan pungutan suara berhubung cadangan untuk menghapuskan hukuman gantung sampai mati dan Akta Hasutan 1948.

Presidennya, Dr Ibrahim Ali berkata kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad tidak perlu tergesa-gesa untuk memansuhkan hukuman berkenaan yang menimbulkan kerisauan dalam kalangan rakyat.

"Sepatutnya kerajaan perlu memberi fokus kepada usaha untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat seperti mana dijanjikan.

"Kerajaan tidak perlu tergopoh-gapah untuk menghapuskan hukuman gantung sampai mati. 

ADS

"Kerajaan tidak seharusnya tunduk kepada suara minoriti, oleh itu kerajaan dicadangkan supaya membuat refrendum atau pungutan suara supaya masyarakat dapat menyuarakan pandangan mereka mengenai cadangan untuk memansuhkan hukuman mati.

"Melalui pungutan suara itu siapa saja boleh berkempen (untuk menyokong atau tidak), Majlis Peguam juga boleh berkempen," katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Kerajaan kumpul maklum balas

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin pada 27 Oktober lalu dilaporkan berkata kerajaan sedang mengumpul maklum balas daripada pelbagai pihak sebelum memuktamadkan pemansuhan pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan di negara ini.

"Kita sedang dapatkan maklum balas pelbagai pihak. Media pun buat kajian, ada yang setuju, ada yang tak. Keputusan muktamad belum dibuat.

“Perkara itu akan bawa ke Peguam Negara untuk diteliti dan selepas itu pada jemaah menteri sebelum dibawa masuk ke peringkat parlimen.

"Jadi kita masih belum dapat keputusan yang muktamad,” ujar Muhyiddin.

Untuk rekod memansuhkan hukuman mati mandatori adalah sebahagian daripada janji yang terkandung dalam manifesto PH.

Dalam pada itu Ibrahim berkata, cadangan untuk mengadakan pungutan suara adalah selaras dengan kehendak demokrasi yang mana kehendak majoriti harus diterima.

ADS

Katanya, usaha pihak tertentu untuk menghapuskan hukuman mati atas nama "kemanusiaan" tidak berlaku adil terhadap keluarga yang menjadi mangsa penjenayah.

Selain itu beliau yakin menghapuskan hukuman mati akan memberi "galakan" untuk penjenayah melakukan jenayah tanpa perlu risau.

"Buat masa ini ada 1,281 pesalah yang sedang menungguh untuk dijatuhkan hukuman mati. Setiap tahun jumlah yang dibelanjakan ialah sebanyak RM19.2 juta, untuk 30 tahun RM575 juta dengan kos RM41 (sehari) untuk setiap pesalah.

"Bayangkan duit sebanyak RM500 juta itu boleh digunakan untuk kepentingan rakyat," jelas Ibrahim lagi.

Ibrahim berkata, Perkasa telah mengadakan petisyen untuk mendapatkan maklum balas serta sokongan orang ramai supaya kerajaan tidak meneruskan hasrat untuk menangguhkan hukuman mati.

"Buat pertama kalinya orang Cina juga menyokong usaha yang dilakukan Perkasa," katanya.

Sebelum mengakhiri sidang medianya Ibrahim sempat 'menjentik' pihak kerajaan supaya tidak membuat keputusan hanya disebabkan oleh seorang pemblog.

Beliau bagaimana pun tidak menamakan pengendali atau penulis laman blog berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen