malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Yeoh: Tony Pua tersingkir kerana angkat 'muka baru'
Diterbitkan:  Dec 9, 2018 10:29 PM
Dikemaskini: 3:58 PM
ADS

Kekalahan Tony Pua dalam pemilihan DAP Selangor hari ini disebabkan usahanya sebelum ini dalam mempertaruhkan wajah-wajah baru sebagai calon dalam PRU yang lalu, kata Anggota Parlimen Segambut Hannah Yeoh.

Keputusan pemilihan DAP Selangor hari ini menyaksikan Pua - bekas pengerusi negeri - tidak tersenarai dalam barisan kepimpinan bagi penggal akan datang.

Mengulas perkara itu, Yeoh yang juga timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata Pua membayar harga terhadap risiko yang diambilnya.

“Saya percaya antara sebabnya adalah pemilihan calon DAP Selangor dalam PRU lalu. Tujuh daripada 15 (kerusi DUN) menampilkan muka baru. Inilah harga yang perlu Pua bayar kerana berani mengambil risiko," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Hari ini, Pua gagal mendapat undian 15 tertinggi bagi melayakkannya tersenarai dalam jawatankuasa DAP Selangor.

Berdasarkan keputusan pemilihan, Pua mendapat tempat ke-19 dengan 292 undi. Berkongsi kedudukan dan jumlah undi dengannya adalah Adun Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin.

Mengulas lanjut, Yeoh berkata beliau sendiri - serta Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching - antara 'muka baru' yang diberi kepercayaan oleh Pua pada 2007.

"Dan beliau melakukan perkara sama pada 2013 dengan Yeo Bee Yin dan Dr Ong Kian Ming. Hari ini kami berempat berkhidmat sebagai menteri dan timbalan menteri," katanya lagi.

Politik nasional vs akar umbi

Beliau juga membangkitkan usaha Pua terutama dalam skandal 1MDB dan program DAP iaitu Impian Malaysia.

“Jika bukan kerana kesungguhannya membongkar skandal 1MDB, projek Impian Malaysia dan bahan publisiti untuk DAP, tidak mungkin kita akan dapat menang selesa (dalam PRU lepas).

"(Tetapi) politik akar umbi tidak mudah, perlukan banyak masa di lokasi dan cabang. Jika masa anda banyak habis dalam soal strategi, anda mungkin terpaksa berkorban di peringkat tempatan (akar umbi)," katanya lagi.

Yeoh sendiri tidak bertanding dalam pemilihan DAP Selangor, kerana ditempatkan di Kuala Lumpur susulan kedudukan kerusi parlimennya.

Beliau terpilih dalam barisan kepimpinan baru DAP Wilayah Persekutuan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menggantikan Pua sebagai pengerusi baru DAP Selangor.

Yeoh berkata khidmat Pua masih diperlukan terutama dalam membantu Lim Guan Eng, ekoran jawatannya kini sebagai pegawai khas menteri kewangan itu.

"Kami perlukan anda untuk membantu Lim bagi untuk membolehkan negara ini bangkit berdiri semula. Untuk Gobind dan kepimpinan Selangor yang baru, anda harus terus memimpin supaya Selangor kekal menjadi model untuk Malaysia baru," katanya lagi.

 

Lihat Komen