malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tony Pua kecewa tersingkir di pemilihan DAP Selangor
ADS

Anggota Parlimen Damansara Tony Pua meluahkan kekecewaannya ekoran tersingkir dalam pemilihan DAP Selangor hari ini.

Beliau yang menjadi pengerusi DAP Selangor menyatakan hasrat untuk tidak lagi memegang jawatan itu tetapi bertanding bagi satu daripada 15 kerusi jawatankuasa negeri.

Namun beliau gagal mendapat tempat 15 tertinggi dalam pemilihan hari ini.

Beliau berkata kekecewaan itu kerana tidak berpeluang untuk memberi sokongan pengerusi baru iaitu Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

"Tentu ada sedikit kecewa. Kalau tak kecewa memang aneh tapi saya menerima keputusan yang telah keluar.

"Saya kecewa kerana saya tidak terpilih. Saya tidak ingin bertanding sebagai pengerusi tapi tidak bermakna saya tak mahu jadi sebahagian dalam jawatankuasa. Saya mahu (berada dalam jawatankuasa) kerana ingin beri sokongan kepada pengerusi baru," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas proses pemilihan di Konvensyen Biasa Negeri DAP Selangor 2018 di Petaling Jaya hari ini.

Pua bagaimanapun berkata beliau kekal komited untuk berkhidmat kepada DAP dan kerajaan.

"Saya ucapkan terima kasih kepada pihak yang memberi undi dan menyokong saya selama ini.

"Saya tidak termasuk dalam 15 yang dipilih. Ia tidak menjejaskan sebarang kerja saya, dan saya akan terus bekerja untuk parti dan kerajaan sekarang," katanya lagi.

Pemilihan DAP merangkumi dua peringkat. Perwakilan akan memilih 15 calon bagi kepimpinan negeri.

Selepas itu, 15 calon yang mendapat undi tertinggi akan memilih di kalangan mereka untuk setiap jawatan, termasuk pengerusi.

Berdasarkan keputusan pemilihan, Pua mendapat tempat ke-19 dengan 292 undi. Berkongsi kedudukan dan jumlah undi dengannya adalah Adun Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin.

Lihat Komen