Pengiklanan

    Melayu - tiga suku kata cetus seribu rasa

    (Dikemaskini )

    ULASAN | Melayu - tiga suku kata yang menimbulkan seribu satu perasaan dan bayangan, sama ada tenang atau benci.

    Malas atau rajin, bodoh atau bijak, jahat atau baik, mudah diperdaya atau sihat akalnya.

    Rasis atau Islamik.

    Sekian lama Melayu menyamakan perjuangan bangsa mereka dengan perjuangan Islam. Hari ini, sebagai seorang Melayu, saya ingin menjentik fikiran bangsa saya untuk mengimbau kembali keselarian pemikiran mereka dengan agama yang mereka akui sebagai penganutnya.

    Jentikan ini mahu membawa teguran kepada orang Melayu, khususnya kepada pihak seperti Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Perkasa yang terlalu taksub memperjuangkan tiga suku kata yang melambangkan bangsa kita itu.

    I. Sahifah Madinah

    Piagam Madinah sering dijulang agamawan dan kalangan usrah sebagai kontrak sosial yang unggul digubal oleh Nabi Muhammad SAW.

    Dikisahkan suku-suku kaum di Madinah zaman dahulu mencari-cari seorang individu yang dapat mendamaikan perbalahan antara mereka.

    Mereka beragama Pagan, Yahudi dan Kristian. Namun sebahagian besar telah memeluk Islam apabila Muhammad menyampaikan risalahnya.

    Muhammad diminta untuk memimpin mereka dan maka tercetusnya Piagam Madinah (atau Sahifah Madinah) yang dikatakan ramai sejarawan sebagai piagam bertulis pertama di dunia.

    Muhammad bukanlah orang tempatan, tetapi dari Mekah. Selain menjadi tanda ketrampilan Muhammad sehingga penduduk yang beratus kilometer jauhnya menghajati kepimpinannya, Piagam Madinah juga pembawa mesej rahmah.

    Sememangnya Piagam Madinah adalah pentadbiran bercorakkan agama tetapi konsep ini, menurut cendekiawan Dr Yasir Qadhi, adalah sesuatu yang progresif pada zaman tersebut. Orang Yahudi di sana diberi hak yang sama sebagai warga dengan orang Islam dan semua golongan wajib berganding bahu jika terdapat serangan dari pihak luar.

    Dari segi kebajikan dan ekonomi pula, kerajaan secara amnya tidak mencampuri urusan harian orang Islam dan orang Yahudi. Mereka bebas berniaga sesama sendiri, malah pembangunan satu kaum memberi kesan baik kepada kaum yang lain kerana saling kebergantungan mereka.

    Ini berlainan dengan sentimen sejumlah orang Melayu yang merasakan membenci Yahudi itu Islamik.

    Mesej seperti ini nampaknya tidak dapat dihadam oleh Isma dan PAS yang sering meremeh-remehkan slogan 'rahmatan lil alamin'. Mereka mengatakan kerajaan bersikap rahmah kepada kafir (yakni orang yang menolak risalah Islam yang tulen).

    Sedangkan semua di alam ini, termasuk haiwan, tumbuhan, Isma sendiri dan juga golongan kafir, termasuk sebagai 'alamin'. Ia menjadikan kita tertanya-tanya apa sebenarnya yang dipelajari mereka dalam sesi usrah.

    II. Antara darah dan pegangan

    Ikut bicara seorang ustaz yang saya tidak sangka kealimannya dalam subjek sejarah (dan bukannya memandai bercereka tentang asal-usul kata 'Melayu' seperti ustaz jari tengah di Kedah), takrif 'Melayu' sebelum Merdeka adalah mereka yang tinggal di Tanah Melayu, menganut agama Islam, mengamalkan budaya Melayu serta pandai berbahasa Melayu. Ini memang termaktub di halaman 174 Perlembagaan Malaysia.

    Maka selepas Merdeka mereka secara automatik memperoleh status 'Melayu' bersama-sama dengan hak-hak istimewanya. Tak kiralah jika berasal dari Bangladesh, Indonesia, Gujerat, dan malah Somalia, semuanya 'Melayu asalkan beragama Islam ketika Merdeka diisytiharkan.

    Menariknya, dan juga malangnya, 'diskaun' khas ini hanya terpakai pada waktu itu. Pascamerdeka dan sehinggalah hari ini, tiada lagi mana-mana individu yang masuk Islam akan memperoleh status 'Melayu.'

    Jika hari ini seorang pemuda ateis Cina memeluk Islam kerana tertarik dengan mesejnya yang logik dan masuk akal, dia tetap tidak layak membeli rumah lot Bumiputera. Tetapi Perlembagaan memberikan takrifan 'Melayu' kepada zuriatnya atas sebab beragama Islam.

    Satu lagi perkaitan Melayu dan Islam di sisi Perlembagaan - jika seorang Melayu memilih untuk meninggalkan fitrah Islam, dia secara automatik kehilangan status 'Melayu'.

    Jika keluar Islam akan hilang hak istimewa. Masuk Islam hanya dapat syurga sahaja di akhirat kelak. Aneh dunia ini.

    Tuhan berhak meletakkan hamba-Nya di neraka kerana tidak memilih kebenaran kerana pegangan hidup, tidak seperti darah dan keturunan, adalah pilihan sendiri.

    Tetapi di sini undang-undang menjadikan mustahil untuk seorang Melayu itu memilih menjadi ateis atau Baha'i atau Zoroastrianisme. Bukan pilihan mahupun takdir.

    III. Antara silam, semasa dan akan datang

    Tuhan mencipta manusia berbeza-beza kaum dan etnik. Tetapi tiada siapa yang boleh membezakan cap jari seorang Uyghur dengan seorang Komunis, seorang Muslim dengan seorang teroris, seorang anggota Isma dan seorang mangsa propaganda mereka.

    Sampai bila kaum bukan Melayu mampu menahan diri dalam suasana 'warga kelas kedua' ini? Sampai bila orang Melayu hendak berpegang kepada romantisme kontrak sosial?

    Kalau hendak berpegang kepada sejarah silam, Sabah pun milik Kesultanan Sulu. Dan kalau hendak berpegang kepada sejarah yang lagi silam, semua manusia berasal dari Afrika.

    Dan menurut kajian saintis genetik Dr Craig Venter, konsep etnik atau 'ras' tiada asas saintifik tetapi sekadar label sesama manusia. Walaupun mempunyai peranan memudahkan urusan dalam kehidupan, ia juga mudan dipergunakan untuk menegaskan kelebihan satu kelompok ke atas kelompok yang lain.

    Ibu saya orang Cina. Tiga daripada lima beradiknya sudah lama berhijrah ke luar negara kerana ini.

    Buat masa sekarang saya jangka orang bukan Melayu masih boleh bertahan dengan konsep Ketuanan Melayu. Tapi bagaimana dengan seratus atau 200 tahun akan datang? Adakah cucu cicit cuit mereka akan terus berdiam diri dan tunduk akur hanya kerana mereka lahir sebagai Ah Lek, Saravanan, dan de Cruz?

    IV. Keadilan hapus prasangka

    Jika Sahifah Madinah menjadi teladan unggul bagaimana kepelbagaian diraikan dan tiada warga kelas kedua, maka adakah orang Melayu sebenarnya perlu mengimpikan kesamarataan kaum, bukannya membantah konvensyen yang menolak diskriminasi? Atau barangkali hak istimewa orang Melayu lebih menepati agama berbanding kesamarataan?

    Yang dibawa Islam adalah idea pemimpin tertinggi negara harus beragama Islam. Selain itu - pentadbiran negara, komposisi bukan Islam dalam pentadbiran, dan dasar-dasar - terpulang kepada ijtihad.

    Kerana yang dikejar adalah keamanan. Keamanan inilah keadaan di mana Islam boleh disebar dengan baik. Keadaan tegang dan penuh syak wasangka menyukarkan risalah Islam disampaikan.

    Kerana itu ramai kalangan agamawan yang berakal tidak menyokong perjuangan Umno mahupun berkawan dengannya. Selama 60 tahun, Umno membawa mesej Islam dengan pakaian kaum dan kononnya sebagai 'tuan tanah'. Tempikan dan jeritan 'ketuanan Melayu' membuatkan ramai berprasangka buruk terhadap Islam.

    Berbanding menempik dan menjerit, lebih penting untuk orang Melayu meningkatkan daya saing. Hak istimewa yang dirasai kini entah berapa lama lagi diizinkan Tuhan untuk terus wujud.

    Maka untuk jangka masa panjang, orang Melayu sepatutnya berusaha ke arah bersaing di padang yang sama rata. Tiada mana-mana pihak yang rasa tertindas dek kerana perkara yang sudah tergubal dan kemajuan diri bergantung kepada kecekalan dan kebijaksanaan masing-masing.

    Saya sebagai seorang separuh Melayu dan sepenuhnya Islam mengimpikan keadaan ini. Bangkitlah Melayu, dengan ketuanan akhlak dan ketuanan rahmah.


    Abu Maryam ialah pembaca Malaysiakini.

    Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih