malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr M ronda KL usai himpunan Icerd
Diterbitkan:  Dec 8, 2018 8:35 PM
Dikemaskini: 12:35 PM
ADS

Usai saja himpunan anti-Icerd di Kuala Lumpur petang tadi, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turun sendiri untuk memeriksa keadaan di ibu kota.

Dalam ciapan di Twitter, penulis blog Firdaus Abdullah berkongsi rakaman Mahathir memandu sebuah kereta Proton sekitar Kuala Lumpur. Turut kedengaran adalah siren daripada polis yang mengiringinya.

“Perdana menteri memandu di pusat bandaraya Kuala Lumpur untuk melihat sendiri keadaan di ibukota selepas perhimpunan anti-Icerd," ciapnya mengiringi video itu.

Rakaman berdurasi seminit itu menunjukkan Mahathir berada di sekitar Jalan Sultan Ismail berhampiran Bukit Bintang, tidak jauh dengan lokasi himpunan iaitu Dataran Merdeka.

Menurut sumber daripada Pejabat Perdana Menteri, beliau memandu dari rumahnya untuk meronda-ronda "sekitar Kuala Lumpur" selepas himpunan.

Semalam, beliau mendoakan agar himpunan itu - anjuran sejumlah NGO dan disokong Umno dan PAS - berjalan dengan lancar.

"Saya doakan agar perhimpunan itu berjalan lancar tanpa sebarang gangguan, marilah kita bersama-sama meraikan demokrasi di Malaysia," katanya.

Himpunan yang pada mulanya untuk membantah konvensyen PBB itu ditukar kepada acara kesyukuran susulan keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasinya.

Ia bermula pada pukul dua petang dan berakhir pada kira-kira lima petang, sejam lebih awal daripada tempoh yang dibenarkan pihak berkuasa.

Polis menganggarkan kira-kira 55,000 yang menyertai himpunannya, manakala Malaysiakini menganggarkan jumlah itu mencecah 80,000 pada waktu puncak.

 

Lihat Komen