malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr M tak hadir sambutan Suhakam sebab tak setuju Icerd
ADS

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memaklumkan beliau tidak akan menyertai sambutan Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) esok.

Mahathir berkata, ini kerana beliau berbeza pendirian dengan Suhakam dalam isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

“Saya sudah putuskan kita tidak akan menerima Icerd (tetapi) Suhakam mahu terima Icerd, jadi macam mana saya nak pergi (sambutan itu)?” soalnya dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, hari ini.

Sambutan Suhakam itu pada asalnya dijadual hari ini - bersempena dengan Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa pada 10 Disember - tetapi ditangguh esok atas sebab keselamatan.

Seperti yang dijelaskan Mahathir, sambutan itu - jika diteruskan - akan berlangsung serentak dengan himpunan kesyukuran Icerd.

"Jika ada dua himpunan pada masa sama, polis terpaksa membahagikan anggotanya.

"Kita bimbang himpunan akan tarik ramai orang dan perlukan ramai anggota polis, sebab itu kita minta (Suhakam) tangguh ke hari lain. Bukan kerana kami halang demonstrasi," katanya lagi.

Himpunan diteruskan

Program Suhakam akan berlangsung esok di Padang Timur, Petaling Jaya, dan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof akan menyampaikan ucaptama.

Mahathir juga secara sinis menyatakan terima kasih kepada "sejuta" yang hadir ke Dataran Merdeka ini untuk menyertai himpunan yang disokong Umno dan PAS itu.

"Kita tahu hari ini ada himpunan yang dihadiri 'sejuta orang'.

"Saya ucap terima kasih kepada mereka kerana berhimpun untuk menyatakan penghargaan (kepada keputusan kerajaan tidak meratifikasi Icerd)," katanya lagi.

Lihat Komen