malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Doa agar kerajaan PH 'pendek umur' tutup himpunan
ADS


LANGSUNG | Ribuan orang membanjiri jalan-jalan di Kuala Lumpur hari ini sebagai tanda kesyukuran keputusan kerajaan untuk tidak mengiktiraf Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Perhimpunan ini anjuran NGO Melayu Islam dan disokong oleh Umno dan PAS.

Mereka yang hadir berkumpul di tiga lokasi - pusat beli-belah Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara. Mereka akan berarak ke Dataran Merdeka.

Himpunan itu akan bermula pada jam 2 petang ini dan dijangka selesai pada jam 6 petang.

Malaysiakini membawakan laporan langsung perhimpunan ini:

Laporan LANGSUNG:

4.50pm, Jalan Raja: Anggota Parlimen Pasir Puteh Dr Nik Mohamad Zawawi Nik Salleh menutup perhimpunan petang ini dengan membacakan doa. antara lain supaya kerajaan Pakatan Harapan "pendek umur".

Ya Allah, pendekkanlah umur kerajaan pakatan harapan ini, ya Allah," katanya di atas pentas dan dalam hujan sederhana.

Beliau juga berdoa agar pengundi muda yang memberi undi PH sebelum ini supaya "kembali ke pangkal jalan".

"Jadikanlah anak-anak muda yang memberi undi kepad PH supaya mereka kembali ke pangkal jalan.

"Jadikan mereka juga yang akan menjatuhkan kerajaan yang mereka pilih (semasa PRU lalu)," katanya.

 

4.40pm Jalan Raja: Presiden PAS Abdul Hadi Awang meneruskan ucapan penuh bersemangat sambil sesekali disambut dengan laungan takbir oleh orang ramai.

Beliau menyampaikan ucapan sambil dipayung Anggota Jawatankuasa Pusat PAS yang juga Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Kamaruzaman Mohamad.

4.33pm, Jalan Raja: Ucapan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dihentikan seketika untuk memberi ruang kepada Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengalunkan azan Asar.

4.25pm - Rajalan Raja: Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim menganggarkan jumlah kehadiran di himpunan petang ini kira-kira 55,000 orang.

Mengikut anggaran Malaysiakini pula pada detik kemuncak dianggarkan ada kira-kira 80,000 orang hadir di himpunan ini.

Bagaimanapun jumlah itu berkurangan sedikit apabila cuaca mula mendung.

Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi pula dalam ucapannya mendakwa ada 500,000 orang hadir.

4.20pm, Jalan Raja: Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jika kerajaan berdolak-dalik dalam isu Icerd mereka akan mengadakan himpunan lain. Kali ini katanya ia akan diadakan di Putrajaya.

Menurutnya orang Melayu dan Islam berkumpul pada hari ini untuk memberi amaran supaya tiada mana-mana pihak mengganggu gugat kestabilan dan keharmonian negara.

"Kepada anak muda, kita berhimpun pada hari ini demi masa depan kita, kita berpanans demi anak cucu kita, kita berletih kerana agama dan generasi masa datang," katanya.

4pm, Jalan Raja: Kelihatan awan bertukar kelabu di sekitar kawasan termpat perhimpunan diadakan menandakan kemungkinan akan hujan.

Sejak beberapa hari lalu kawasan Lembah Kelang mengalami hujan hampir setiap hari.

Pada masa sama Unit Amal PAS kelihatan membawa beg plastik memungut sampah bagi memastikan kebersihan terjaga.

3.45pm, Jalan Raja: Anggota Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman mengutuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang didakwanya cuba mencabuli kemerdekaan negara ini.

"Go to hell with United Nation (pergi jahanam PBB)!" katanya yang memang sering berbahasa Inggeris termasuk ketika di Dewan Rakyat.

Kata Tajuddin pihak luar mahu memaksa Malaysia menerima Icerd supaya dengan itu mereka boleh mengenakan syarat-syarat bagi menentukan bagaimana rakyat negara ini perlu hidup.

"Mereka nak kuasai sosisal kita, budaya kita, minda kita dan politik kita," katanya.

3.05pm, Jalan Raja: Ribuan masih berusaha untuk sampai ke Jalan Raja. Ini menyebabkan berlaku kekecohan apabila sebahagian peserta termasuk mereka yang membawa anak-anak cuba meninggalkan kawasan itu kerana kesesakan.

Petugas perubatan dilihat membawa beberapa peserta himpunan yang pengsan.

Pemimpin politik dari Umno, PAS dan pemimpin NGO sedang berusaha untuk sampai ke pentas sementara.

Hadi tiba dengan bonceng motosikal

2.40pm, Jalan Raja: Presiden PAS Abdul Hadi awang tiba dengan membonceng sebuah motosikal.

Beliau melambaikan tangan kepada para penyokong dan peserta himpunan  yang menyambutnya dengan takbir. 

Polis: Peserta himpunan dianggar 50,000

2.30pm, Jalan Raja: Polis anggar peserta perhimpunan di Dataran Merdeka sekitar 50,000 orang dan jumlah mereka semakin bertambah.

Penganjur memberitahu orang ramai supaya duduk kerana tidak ada lagi ruang untuk berjalan. Sebuah helikopter polis dilihat berlegar-legar di udara.

2.20pm: Jalan Raja: Setiausaha Agung Umno Annuar Musa adalah antara pemimpin kanan parti itu yang baru tiba di Jalan Raja.

Bekas perdana menteri Najib Razak juga dilaporkan sudah meninggalkan PWTC dan dalam perjalanan ke Dataran Merdeka.

Tak dibenar buat ucapan provokasi

2.20pm, Jalan Raja: Penganjur mengingatkan orang ramai berkumpul supaya tidak membuat ucapan atau mengeluarkan kenyataan provokasi. Mereka diberitahu supaya memanggil anggota keselamatan jika terdengar seseorang membuat kenyataan sedemikian.

 1.50pm, Sogo: Sekitar 5,000 peserta perhimpunan yang berada di kompleks membeli-belah Sogo kini berarak menuju Jalan Raja.

Berbekalkan sepanduk dan pelekat, mereka melaungkan slogan "Hidup Islam", "Jahanam Pengkhianat" dan "Hancur Icerd".

1.45pm, Masjid Negara: Peserta perhimpunan berarak ke Jalan Raja. Antara mereka membawa sepanduk berbunyi "Kami Bantah Icerd" dan "Pertahankan Hak Bumiputera".

1.15pm, Jalan Raja: Seramai 2,000 peserta perhimpunan yang berkumpul di Jalan Raja mula melaksanakan solat Zohor di sepanjang jalan yang diketuai oleh Muhammad Ali Jamil.

Mereka yang datang dari jauh kemudian meneruskan solat Jamak,  yang menggabungkan solat Asar dengan Zohor.

Jemaah yang kebanyakannya berpakaian putih, kemudian melakukan solat hajat di atas jalan.

Tidak lama selepas solat kira-kira jam 1.40 petang, para peserta perhimpunan yang berada di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Parlimen kemudian mula memasuki Jalan Raja.

Sekumpulan 100 pemuda yang juga berpakaian putih, berarak ke Jalan Raja sambil menyanyikan lagu 'Inilah Barisan Kita'.

Sementara itu penganjur perhimpunan mengingatkan orang ramai agar mematuhi undang-undang dan tidak merosakkan harta benda serta membuang sampah sarah.

Penganjur juga mengingatkan orang ramai tidak membuat sebarang ucapan provokasi. Mereka kemudian mengalunkan selawat ke atas nabi sambil menunggu pemimpin dan peserta lain tiba.

1.10pm, Jalan Raja: Pihak penganjur membenarkan orang ramai masuk ke Jalan Raja, yang merupakan lokasi utama bagi perhimpunan anti-Icerd.

Seorang wakil memberitahu orang ramai di persimpangan Jalan Raja-Jalan Parlimen untuk bersiap sedia bagi menunaikan solat Zohor.

Nik Abduh imamkan solat Zuhur, Najib di PWTC

1.10pm, PWTC: Bekas perdana menteri Najib Razak berada di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Beliau menunaikan solat Zohor dan solat hajat dekat surau di bangunan itu.

1pm, Sogo: Kumpulan peserta himpunan dekat Sogo menunaikan solat Zohor. 

Kira-kira 1,000 penyokong menunaikan solat di atas jalan raya di persimpangan dekat pusat membeli belah itu.

Anggota Jawatankuasa PAS pusat, Nik Abduh Nik Aziz mengimamkan solat berkenaan. 

Polis anggar 4,000 peserta perhimpunan di Masjid Negara

12.50pm, Masjid Negara: Polis menganggarkan seramai 4,000 peserta himpunan di Masjid Negara. Ramai daripada mereka berpakaian T-shirt putih yang tertera perkataan "Bantah Icerd".

Naib Presiden Umno, Ismail Sabri turut dilihat hadir dalam perhimpunan itu.

Kanak-kanak turut dibawa ke perhimpunan

12.45pm: Sinar Harian melaporkan beberapa peserta dilihat membawa kanak-kanak meskipun polis telah memberi amaran supaya tidak berbuat demikian.

Portal itu juga menyiarkan gambar sekumpulan wanita dengan salah seorang daripadanya mendukung bayi. Manakala seorang lagi kanak-kanak berdiri di sebelahnya.

Sebelum ini, polis memberi amaran kepada mereka yang menghadiri perhimpunan itu supaya tidak membawa anak-anak mereka.

12.39pm, Masjid Negara: Mengikut anggaran pihak polis yang berada di Masjid Negara, sekitar 4,000 penyokong hadir dalam perhimpunan anti-Icerd hari ini.

Rata-rata yang hadir terdiri dari pelbagai peringkat umur, tua dan muda dengan memakai t-shirt berwarna putih atau dengan tulisan "Bantah Icerd". 

Lori jadi pentas sementara

12.20am, Persimpangan Jalan Raja-Jalan Parlimen: Sebuah lori diletakkan di tengah-tengah Jalan Raja, lokasi utama perhimpunan.

Kira-kira 150 meter dari situ, anggota Unit Amal PAS menghalang orang ramai daripada memasuki Jalan Raja. Salah seorang petugas memberitahu orang ramai bahawa mereka tidak dibenarkan masuk sehingga jam 2 petang.

Bercakap kepada Malaysiakini, petugas lain berkata FRU mungkin akan bertindak jika orang ramai dibenarkan masuk pada ketika ini.

Pesilat selesai serah memo

12pm Istana Negara: Kumpulan pesilat selesai menyerahkan memorandum kepada wakil Istana Negara.

Ketua Setiausaha Gabungan Silat Pertahan Perlembagan (Pertahan) Sahruddin Esa berkata mereka tidak akan menyertai himpunan Umno dan PAS di Dataran Merdeka.

Mereka bersurai secara aman kira-kira jam 12 tengah hari.

Trak meriam air FRU bersiap sedia

11.55am, Jalan Parlimen: Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dilihat bersiap sedia di Jalan Parlimen.

Sekurang-kurangnya satu trak meriam air, sebuah bas dan lima trak yang penuh dengan anggota polis FRU dilihat ditempatkan di depan rumah kedai berhampiran kelab akhbar Jalan Parlimen.

Sekitar 100 meter jauhnya, kira-kira 300 peserta himpunan dilihat bergerak ke arah Dataran Merdeka.

Mereka yang datang menggunakan motosikal dilihat meletakkan motosikal mereka di tepi jalan menuju ke Dataran kerana jalan ditutup oleh polis.

11.40am, Sogo: Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajadi menyambut sekumpulan peserta himpunan di Jalan Tunku Abdul Rahman ketika beliau dan kumpulannya sekitar 30 berjalan menuju Sogo. 

Dalam ucapannya di depan kompleks membeli-belah itu, Asyraf mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada orang ramai yang hadir.

"Kita nak tunjuk solidariti tanpa mengira kaum dan agama. Hari ini dalam sejarah apabila Umno dan PAS bersatu untuk memberi mesej yang jelas kepada kerajaan Pakatan Harapan. Berhenti menipu rakyat," katanya.

Beliau berkata negara ini dibina berdasarkan kontrak sosial dan memberi amaran kepada kerajaan untuk tidak membawa masuk unsur-unsur Barat yang boleh menghancurkan keharmonian di negara ini.

Sementara itu, lebih ramai peserta membanjiri jalan raya dan jumlah mereka kini dianggarkan lebih 5,000 orang.

11.30am: Sin Chew Daily memetik Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun sebagai berkata bahawa setakat jam 9.30 pagi, kira-kira 5,000 peserta himpunan anti-Icerd di Kuala Lumpur.

Kumpulan silat serah memorandum, istana beri air mineral

11.30am, Istana Negara: Anggota kumpulan silat tiba di pintu masuk istana. Lima daripada mereka berpencak silat sebelum menyerahkan memorandum kepada wakil dari istana.

Wakil itu juga mengedarkan botol air mineral kepada ahli-ahli kumpulan silat berkenaan yang bergerak sejauh 2km dalam keadaan panas terik.

 Sekitar 3,000 orang kini berkumpul di Sogo dan melaungkan 'Hidup Islam'.

11am, Sogo: Sekitar 3,000 orang berkumpul di hadapan pusat beli-belah Sogo. Wakil dari pelbagai NGO bergilir-gilir menyampaikan ucapan.

Ramai peserta himpunan berpakaian putih dengan tertera tulisan 'Bantah Icerd'. Mereka melaungkan "Hidup Islam", "Bantah Icerd", dan "Bangkit Melayu".

10.30am, Masjid Wilayah Persekutuan: Para pesilat mula berarak ke Istana Negara, yang terletak kira-kira dua kilometer dari tempat berkumpul.

Mereka membaca selawat ke atas jungjungan Nabi Muhammad SAW. Ketua Setiausaha Himpunan Ummah menggesa peserta membaca selawat dan tidak melaungkan slogan yang provokatif.

10.10am: Unit Amal PAS mengerahkan 2,000 petugasnya untuk mengawal keadaan semasa perhimpunan itu, menurut Harakah Online.

Pengarah Unit Amal Mohd Nazree Mohd Aris berkata 400 daripada mereka akan mengawal lalu lintas di kawasan sekitar, 190 akan mengawasi keperluan perubatan manakala selebihnya akan mengendalikan keselamatan dan mencegah provokasi.

10.00am: The Star melaporkan kira-kira 5,000 pelajar di seluruh negara akan menyertai perhimpunan ini kerana tidak berpuas hati terhadap skim potongan gaji berjadual bagi bayaran semula pinjaman PTPTN.

"Kami tidak berpuas hati dengan perkembangan terkini di PTPTN," kata presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Muhammad Faizuddin Mohd Zai.

Portal itu juga melaporkan kebimbangan mengenai isu keselamatan dan penutupan jalan berikutan perhimpunan itu menyebabkan banyak perniagaan di kawasan itu ditutup hari ini.

9.30am, Masjid Wilayah Persekutuan: Sekitar 300 pesilat Melayu, lengkap berbusana tradisional berbaju Melayu dan bersamping berkumpul. Mereka bersiap sedia untuk berarak ke Istana Negara bagi menghantar memorandum.

Separuh pesilat berbaju Melayu hitam, manakala yang lain memakai baju Melayu berwarna hijau. Mereka turut mengibarkan panji-panji dengan kalimah Allah.

Ketua Setiausaha Gabungan Silat Pertahan Perlembagaan (Pertahan) Sahruddin Esa berkata mereka berhimpun secara aman dan tidak membawa senjata.

"Silat macam public performance, kita tak tunjuk samseng. Kita sekarang minta kebenaran untuk jumpa Raja-Raja, kita tak bawa senjata," katanya yang berkata gabungan silatnya merangkumi keanggotaan dari lapan buah negeri iaitu Sabah, Johor, Perak, Pahang, Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen