malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Fuziah cabar CEO Lynas bawa sisa lepasi kastam Australia
Diterbitkan:  Dec 7, 2018 4:47 PM
Dikemaskini: 8:47 AM
ADS

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh hari ini mengemukakan cabaran kepada Ketua Pegawai Eksekutif Lynas Corporation Amanda Lacaze.

Beliau mencabar Lacaze untuk cuba melepasi pemeriksaan kastam Australia - yang diketahui sangat ketat - bersama-sama beg berisi sisa radioaktif Lynas, memandangkan Lacaze mendakwa ia sebagai tidak berbahaya.

Ia susulan kenyataan Lacaze bahawa radionuklid dalam sisa yang dihasilkan oleh kilangnya di Kuantan daripada proses Water Leached Purification (WLP) tidak berbahaya kerana ia merupakan bahan radioaktif yang terjadi secara natural (naturally occuring radioactive material, norm).

Fuziah bagaimanapun mendakwa radionuklid itu boleh menyebabkan kanser jika didedahkan secara kerap.

"Saya cabar Lacaze untuk membawa satu beg Lynas Norm dan cuba membawanya melepasi kastam di Australia.

"Kenyataan tak bertanggungjawab seperti itu bagi menggesa orang Malaysia menerima bahan bahaya Lynas, berbanding menanganinya secara selamat, sama seperti meminta kita membunuh diri perlahan-lahan demi menjimatkan kos membersihkan sisa-sisanya.

"...Jika Lynas serius terhadap standard antarabangsa, ia akan kekal di Australia dan mematuhi syarat yang lebih ketat di sana, dan bukan memilih Malaysia untuk operasinya yang bahaya," katanya lagi.

WLP residue adalah sisa pejal yang memiliki Norm dengan kadar radioaktif 6.2 Bq. Ia diselia oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) berdasarkan Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984.

Fuziah mendakwa radionuklid dan unsur lain dalam sisa kilang Lynas telah melalui beberapa proses kimia yang kasar, yang didakwa menjadikannya tertumpu dan hilang perisai naturalnya.

Beliau juga menyangkal dakwaan Lacaze sebelum ini bahawa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa telah mengesyorkan sisa untuk dicairkan dan dipencar.

Menurut Fuziah, agensi itu dua kali menggesa untuk "mekanisme penghapusan selamat".

Lynas: Kemudahan simpanan tepati standard Malaysia

Sementara itu, Lynas hari ini menyatakan semua bahan sisa kilangnya, terletak di Kawasan Perindustrian Gebeng, disimpan dalam fasiliti yang menepati standard Malaysia dans syarat kemudahan penghapusan kekal (PDF) antarabangsa.

"Ia direka untuk memastikan sisa dibendung dengan betul walaupun ketika cuaca yang ekstrem.

"...Sejak beroperasi di Malaysia, Lynas telah mematuhi syarat perlesenan yang jelas menyatakan sisa perlu dikitar semula, dan jika tidak boleh, disimpan dalam PDF," kata syarikat itu dalam kenyataan.

Semalam, Lynas Corporation dilaporkan meneruskan pembangunan PDF bagi sisa yang terhasil daripada WLP, termasuk menetapkan lokasi untuk kemudahan itu.

Ia selepas Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan sisa WLP perlu dibawa keluar daripada Malaysia.

[Baca berita asal]

Lihat Komen