malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Kenapa Najib, Hisham tak mengaku Ops Yaman 2 di parlimen?'
ADS

ULASAN | Setelah mendengar dan meneliti jawapan bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein, saya dapati jawapan beliau sangat lemah dan penuh helah.

Di antara perkara saya anggap lemah dan tidak munasabah ialah:

PERTAMA: Soalan adakah kabinet dan parlimen dimaklumkan tentang penglibatan membantu Sekutu Arab Saudi serang Yaman, beliau menjawab isu tersebut dibawa ke Majlis Keselamatan Negara.

Kebenaran kabinet mesti diperoleh. Tapi ia tidak di lakukan.

Bukankah parlimen juga badan yang paling berkuasa dan tertinggi di mana penglibatan dalam mana-mana peperangan dengan apa cara pun ia mesti di maklumkan? 

Ia melibatkan nyawa anggota tentera dan perbelanjaan wang negara.

KEDUA: Khairi Jamaluddin sebagai bekas menteri belia dan sukan mengesahkan beliau dan kabinet tidak dimaklumkan tentang Ops Yaman 2.

Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi pula bertanya kepada Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong adakah beliau tahu apa dibincang di kabinet dahulu seolah-olah Ops Yaman 2 boleh jadi telah dibentang.

Tiga orang bekas menteri memberi tiga jawapan yang berbeza-beza, masing masing mempunyai jawapan mereka yang tersendiri.

KETIGA: Hishamuddin juga tidak menjawab soalan adakah tentera Malaysia mengangkut peluru dan bahan letupan-bom. Beliau hanya menyatakan Tentera kita tidak memasuki Yaman tetapi ini tidak bermakna peluru dan bahan letupan bekalan Malaysia tidak menghujani Yaman dan membunuh rakyat mereka.

KEEMPAT: Hishammuddin mengulangi misi mengeluarkan rakyat Malaysia dari Yaman yang merupakan tugas di bawah Ops Yaman 1 yang lebih awal. Ini adalah untuk mengelirukan rakyat Malaysia tentang apa yang sebenarnya berlaku di bawah Ops Yaman 2.

Seperti saya pernah sebut di parlimen perpindahan rakyat Malaysia berlaku pada awal perang Yaman tersebut di mana mereka yang ingin keluar telah pun keluar lebih awal lagi.

Mereka yang ingin tinggal kita tidak boleh paksa mereka keluar.

Panglima Angkatan Tentera Udara pernah meminta dibawa pulang pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia kerana kos yang tinggi untuk berada di Arab Saudi tetapi telah ditolak oleh menteri.

Mengapakah kosnya tinggi jika ia hanya melibatkan menunggu jika ada rakyat Malaysia mahu keluar?

Adakah kosnya tinggi kerana kita membawa bekalan peluru dan bahan letupan berulang kali bagi tujuan menyerang Yaman?

Ejekan Hishammuddin yang mengatakan menteri Pakatan Harapan tidak tahu menjalankan tugas dan kalau apa-apa terjadi kepada rakyat Malaysia Liew Chin Tong dan sayalah sepatutnya pergi ke Yaman adalah sangat kebudak-budakan.

Rakyat Malaysia yang ingin keluar telah dikeluarkan dan kalau setiap negara yang ada kekacauan kita hantar tentera menuggu - berapa lama dan berapa ramai tentera akan terlibat?

Tidakkah Hishammuddin memikirkan peluru dan bahan letupan yang kita bekal boleh menyasarkan rakyat Malaysia kerana Sekutu Arab Saudi menyerang pasar, hospital, sekolah dan Dewan Awam seperti dilapor oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Hishammuddin sendiri menyatakan masih ramai rakyat Malaysia di Yaman.

Soalan pertama adakah kenapa Malaysia tidak mendesak Arab Saudi menghentikan serangan terutamanya sasaran awam seperti dilapor oleh PBB?

Bukankah rakyat Malaysia masih ramai di Yaman seperti di akui Hishammuddin? Bukankah perdana menteri begitu rapat dengan kerajaan Arab Saudi sehingga menerima derma lumayan berjumlah berbilion?

Soalan kedua, kenapakah perdana menteri dan Hishammuddin tidak menyebut dan mengakui tentang fasa Ops Yaman 2 yang melibatkan pengangkutan peluru dan bahan letupan yang saya bangkitkan selama dua tahun di parlimen?

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan tepat memanggil pulang tentera Malaysia dari Arab Saudi.

Kerajaan Malaysia hari ini juga membuat keputusan tepat membatalkan Projek King Salman Peace Centre di Putrajaya. Tindakan membatalkan projek Arab Saudi ini dibantah oleh Najib dan Hishammuddin.

Kerajaan Malaysia tidak patut bersekongkol dengan kerajaan Arab Saudi dan rakyat Malaysia berhak mengetahui penglibatan sejauh mana sebenarnya subahat Malaysia dalam serangan kejam atas Yaman.


Raja Bahrin Shah merupakan Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (AMANAH).

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen