Pelaksanaan Potongan Gaji Berjadual (PGB) sebagai kaedah bayaran balik bagi pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan tetap diteruskan tahun hadapan setelah mengambil kira keadaan peminjam sekarang dan generasi akan datang.
Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya mengambil maklum suara peminjam yang berdepan kadar pemotongan yang tinggi, namun dalam jangka masa panjang, ia dapat memastikan jutaan generasi muda dapat masuk ke universiti.
“Saya ambil maklum pandangan dan cadangan yang menyusuli pengumuman tersebut. Saya mendengar kegusaran mereka dan saya bersedia mempertimbang rayuan daripada mereka yang memerlukan pertimbangan khas.
“Ada yang menyatakan bahawa mekanisme PGB adalah bertentangan dengan Perjanjian Pinjaman yang telah ditandatangani. Saya ingin nyatakan bahawa melalui perjanjian yang mereka tandatangani tersebut, peminjam telahpun bersetuju untuk membuat bayaran balik mengikut apa-apa skim yang ditetapkan oleh PTPTN, termasuk potongan gaji melalui majikan.
“Ada juga yang memberi komen mengenai kuasa majikan untuk membuat potongan gaji. Seksyan 29, Akta PTPTN 1997 telah memperuntukan kuasa kepada PTPTN untuk mengarahkan majikan untuk melaksanakan potongan gaji ke atas peminjam. Maka peruntukan undang-undang telah ada,” kata Wan Saiful melalui kenyataannya, hari ini.
Bukan keputusan mudah
Wan Saiful turut menegaskan PTPTN sentiasa mengambil berat keperluan rakyat, dan oleh itu skim baru itu dapat memberi manfaat kepada generasi akan datang.
“Kerajaan mempunyai pilihan adakah mahu memberi keutamaan kepada peminjam hari ini, atau memastikan kelestarian PTPTN supaya jutaan anak-anak kecil hari ini mempunyai dana untuk masuk IPT pada masa akan datang.
“Ini bukan keputusan mudah kerana ia membabitkan dua kelompok yang mempunyai keutamaan yang berbeza. Keputusan kerajaan ini saya yakin akan memastikan bahawa PTPTN lestari demi kebaikan anak-anak kita,” katanya.
Semalam Wan Saiful mengumumkan bahawa PTPTN bekerjasama dengan enam agensi bagi mendapatkan maklumat pendapatan dan butiran majikan peminjam untuk PBG bermula Januari depan.
Agensi terbabit ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Persaraan, Jabatan Akauntan Negara, Urusan Gaji Angkatan Tentera dan Jabatan Perkhidmatan Awam.
PGB dilaksanakan untuk peminjam yang gajinya mencecah RM2,000 sebulan dan berdasarkan maklumat yang diperoleh, PTPTN akan mengeluarkan arahan potongan gaji mengikut peratusan tertentu kepada majikan dan majikan bertanggungjawab membuat potongan itu
Pengumuman itu mengundang kritikan dari Pakatan Harapan sendiri, termasuk dari presiden PKR, Anwar Ibrahim dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Anwar berkata beliau akan membangkitkan perkara itu kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, manakala Syed Saddiq pula berkata akan membawa isu tersebut semasa mesyuarat kabinet esok.