malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pesilat serah memorandum di Istana Negara pada hari demo anti-Icerd
ADS

Sebuah kumpulan silat akan menyerahkan memorandum bagi membantah Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) di Istana Negara pada hari sama berlangsungnya perhimpunan untuk membantah konvensyen itu, Sabtu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim berkata, penganjur telah mendapat kebenaran dari ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada Selasa lalu untuk mengadakan acara itu.

"Kumpulan ini, yang kami anggar sekitar 400 orang, akan berkumpul di masjid Wilayah Persekutuan pada pukul 10 pagi dan dari situ, mereka akan berarak ke pintu 3 Istana Negara untuk mengemukakan memorandum," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di ibu pejabat kontinjen polis KL.

Beliau menambah mereka dibenarkan berkumpul sehingga tengah hari.

Ketika ditanya mengenai nama kumpulan itu, Mazlan hanya menyebut ia terdiri daripada kumpulan "pesilat-pesilat".

Mazlan berkata pihak polis akan memantau kumpulan itu dengan teliti untuk memastikan mereka mengikut peraturan dan undang-undang.

Ditanya sama ada jalan raya akan ditutup berhampiran kawasan berkenaan, Mazlan berkata ia bergantung kepada keadaan pada hari itu.

Pihak berkuasa sebelum ini  memberi lampu hijau kepada penganjur untuk mengadakan perhimpunan itu dari jam 2 petang hingga 6 petang di sepanjang Jalan Raja sahaja, iaitu di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka.

Perhimpunan itu dianjurkan Gerakan Pembela Ummah, Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), dan Persatuan Bekas Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (Daulat).

Mereka sebelum ini menyatakan perhimpunan yang mendapat sokongan Umno dan PAS, akan diteruskan meskipun kerajaan memutuskan untuk tidak meratifikasi Icerd.

Sebaliknya, mereka berkata objektif perhimpunan itu adalah untuk menyatakan penghargaan kerana kerajaan tidak meratifikasi konvensyen itu, dan pada masa sama untuk memastikan tiada sebarang usaha menandatanganinya di masa depan.

PAS menganggarkan seramai setengah juta peserta akan membanjiri jalan-jalan di Kuala Lumpur pada 8 Disember.

Timbalan presiden parti itu, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sasaran itu akan dapat dicapai sekiranya PAS menggerakkan kira-kira 300,000 penyokong dan Umno seramai 200,000 penyokong.

Lihat Komen