malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
120 peguam beri khidmat pada demo anti-Icerd
ADS

Lebih120 peguam akan berkhidmat pada perhimpunan kesyukuran bagi membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) di ibu negara Sabtu ini.

Perkara itu dinyatakan pengarah program perhimpunan itu, Kamaruzaman Mohamad yang menyifatkan penyediaan barisan peguam itu bagi memastikan himpunan itu berjalan lancar dan mematuhi peraturan.

"Peguam-peguam ini akan berada di sekitar kawasan perhimpunan. Buat masa ini lebih 120 peguam sudah mendaftarkan diri untuk berkhidmat pada perhimpunan itu nanti.

"Kita menyediakan barisan peguam sebelum ini memandangkan perhimpunan yang akan diadakan tidak mendapat kelulusan, namun, apabila kelulusan sudah diberikan, khidmat peguam ini tetap kita sediakan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Perhimpunan bagi membantah Icerd yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini dijangka akan menghimpunkan kira-kira 500,000 peserta bagi menyatakan bantahan terhadap usaha kerajaan untuk meratifikasi konvensyen itu.

Program yang dikendalikan Gerakan Pembela Ummah (Ummah) itu mendapat sokongan padu dua parti dominan orang Melayu iaitu Umno dan PAS.

Semalam, Kamaruzaman mengesahkan bekas perdana menteri Najib Razak akan turut serta menyertai perhimpunan itu.

Tiga lokasi utama iaitu, Masjid Jamek, Masjid Negara dan hadapan pusat membeli belah Sogo menjadi medan perhimpunan sebelum berarak ke Jalan Raja hadapan Dataran Merdeka.

Sementara itu Kamaruzaman turut menyampaikan pesanan kepada orang ramai yang akan turun Sabtu ini supaya mematuhi segala peraturan ditetapkan.

"Saya selaku pengarah program ini menyeru peserta supaya menjaga keselamatan, jaga kebersihan serta menjaga keselamatan harta benda awam," katanya.

Lihat Komen