malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Wakil BN protes keluar Dewan bantah keputusan speaker
ADS

Anggota Parlimen Barisan Nasional hari ini membuat bantahan dengan bertindak keluar dari Dewan Rakyat 10 minit sebelum waktu rehat.

Menurut pengerusinya, Ahmad Zahid Hamidi, tindakan itu susulan keputusan Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof memutuskan bahawa anggota Parlimen Cameron Highlands, C Sivarraajh tidak dibenarkan berada di dalam Dewan Rakyat.

"Kita ingin merujuk kepada keputusan yang dibuat oleh speaker di mana beliau akan hanya membuat keputusan sama ada Cameron Highlands patut berada dalam Dewan dalam tempoh 14 hari atau sesuatu keputusan yang lain setelah penelitian dokumen-dokumen dilakukan.

"Oleh yang demikian, kita lihat bahawa di dalam Perkara 36a(2) menyebutkan bahawa hakim pilihan raya hanya akan mengambil sesuatu keputusan secara muktamad jika tiada sebarang rayuan difailkan dalam masa 14 hari," katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Terdahulu hari ini, kekecohan tercetus di Dewan Rakyat apabila anggota parlimen pembangkang menggesa Ariff untuk menarik semula keputusan beliau itu dan memohon maaf.

Kekecohan berlanjutan sehingga 30 minit.

Bagaimanapun, Ariff berkata beliau hanya akan membuat peraturan berhubung status Sivarraajh pada Isnin depan selepas meneliti perkara itu.

Semalam, Ariff mengarahkan Sivaraajh meninggalkan persidangan selepas statusnya menjadi tanda tanya susulan keputusan mahkamah baru-baru ini yang mengisytiharkan pilihan raya semula diadakan untuk kerusi Cameron Highlands.

Bagaimanapun, Sivaraajh mempertahankan kehadiran beliau dengan alasan Mahkamah Tinggi belum menghantar notis kehakiman kepada Speaker Dewan Rakyat bagi memaklumkan bahawa kerusinya itu telah dikosongkan.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands, Pahang dan mengarahkan supaya pilihan raya diadakan semula.

Hakim Azizah Nawawi berkata calon DAP M Manogaran berjaya membuktikan terdapat amalan rasuah yang menyaksikan kemenangan kepada Sivaraajh yang juga adalah naib presiden MIC.

Mengulas lanjut,  Ahmad Zahid berkata, Ariff tidak bertindak adil setelah mahu keputusan secara bertulis dikemukakan kepadanya.

Katanya, berdasarkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) seseorang ahli parlimen yang diisytiharkan melakukan kesalahan berhak berada di Dewan Rakyat sehingga tempoh rayuan selama 14 hari berakhir.

“Jika lihat Perkara 36(a)(2) Akta 5, Hakim Mahkamah Pilihan Raya hanya akan mengambil sesuatu keputusan muktamad jika tiada rayuan difailkan dalam tempoh 14 hari.

“Jika notis rayuan difailkan, beliau sepatutnya masih layak berada dalam persidangan Parlimen ini sehingga Mahkamah Persekutuan membuat keputusan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Lihat Komen