Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkata status dan kegunaan Pulau Kukup akan kekal sebagai taman negara walaupun ia kini menjadi tanah kesultanan.
Menjelaskan perkara itu Tunku Ismail berkata tidak ada sebab untuk isu Pulau Kukup berkenaan diperbesar-besarkan dan dipolitikkan.
"Isu tanah adalah hak mutlak kerajaan negeri.
"Saya yakin apa pun keputusan Ke Bawah Duli Tuanku dan kerajaan negeri, are in the best interest and sovereignty of Johor (ia adalah demi kepentingan dan kedaulatan Johor)," ciapnya di Twitter malam tadi.
Kerajaan Johor pada 4 Dis lalu mengumumkan bahawa status Pulau Kukup sebagai taman negara yang dilindungi dibatalkan selepas ia diletakkan begitu sejak 1997.
Keputusan mengenai pulau yang terletak di Pontian itu dibuat ketika mesyuarat exco pada 24 Sept lalu sebelum warta mengenainya dikeluarkan pada 25 Okt.
Pulau Kukup dikenali dengan hutan paya bakaunya. Sebahagian besar kawasan pulau itu tidak berpenghuni.
Sedia jumpa bila-bila
Ia salah satu daripada sebahagian kecil lahan basah yang masih kekal asli di Asia Tenggara, dan satu daripada lima tapak Ramsar di Malaysia.
Sehari kemudian Tunku Ismail menjelaskan pembatalan pewartaan Pulau Kukup sebagai taman negara yang dilindungi dibuat supaya ia boleh diklasifikasikan sebagai tanah kesultanan.
Beliau juga memberi jaminan bahawa Pulau Kukup akan terus menjadi sebagai sebuah taman.
"Sebelum ini, beberapa taman negara telah diswastakan. Di Johor, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia mempunyai visi yang berbeza.
"Untuk melindungi semua taman negara, baginda bertitah bahawa semua taman negara akan diubah menjadi tanah kesultanan.
"Ini diamalkan di United Kingdom di mana semua taman milik Mahkota (Raja). Walau bagaimanapun, ini tidak mengubah status, dasar dan penggunaan taman berkenaan. Ia terus kekal sebagai status sebuah taman negara," katanya.
Tunku Ismail berkata Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mempunyai rancangan sendiri seperti yang sudah dilaksanakan baginda ke atas Taman Laut Sultan Iskandar di Mersing.
Sementara itu menjawab ciapan pengguna Twitter Tunku Ismail beliau dan Sultan Ibrahim sentiasa bersedia untuk bertemu pencinta alam sekitar.
"Anytime (Bila-bila masa saja)," ciapnya.
Terdahulu pengguna Twitter menggunakan nama @misterpeace bertanya sama ada pencinta alam sekitar boleh mengadap Sultan Ibrahim bagi mendapatkan jaminan penuh baginda bahawa ekosistem di Pulau Kukup akan dikekalkan bagi melindungi hidupan liar dan hidupan marin di situ.