malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Usul Icerd di DUN Perak, MB sendiri tarik balik - Speaker
Diterbitkan:  Dec 5, 2018 11:03 PM
Dikemaskini: 3:03 PM
ADS

Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Perak Ngeh Koo Ham menjelaskan beliau tidak menolak usul yang dibawa Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu untuk membahaskan Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Ngeh memberitahu Malaysiakini, Faizal yang juga Adun Chenderiang telah memfailkan usul itu pada 17 November lalu.

Bagaimanapun, menurut Ngeh, menteri besar menarik balik usul berkenaan selepas kerajaan persekutuan memutuskan pada 23 November lalu Malaysia tidak memeterai perjanjian itu.

Bagaimanapun, Ngeh turut memaklumkan beliau menolak usul serupa daripada pihak pembangkang yang dibawa oleh Adun Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud.

"Hubungan luar negara berada di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Parlimen merupakan tempat yang sesuai untuk topik ini.

"Selepas keputusan kerajaan pada 23 November, hal ini telah menjadi akademik," kata Ngeh.

MB atau DAP?

Menurut laporan Sinar Harian, Ahmad Saidi yang membantah keputusan speaker DUN berkata usulnya perlu dibahaskan bagi menunjukkan sokongan kepada kerajaan persekutun.

Laporan terdahulu Sinar Harian mendakwa Ngeh menolak usul Faizal.

Hal ini mendorong Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan jika DAP lebih berkuasa daripada menteri besar Perak.

"Saya mempersoalkan jika usul yang dibawa Menteri Besar sebagai ketua kerajaan negeri pun ditolak oleh Yang Dipertua Dewan dari DAP. Siapa sebenarnya yang berkuasa di Perak. Menteri Besar atau DAP?" Soal Asyraf pada ciapan di Twitter.

Di bawah sistem parlimen ala Westminster, speaker dewan sepatutnya bertindak bebas, walaupun seseorang itu mewakili satu-satu parti politik.

Di sebalik keputusan Putrajaya yang tidak menerima Icerd, sebuah perhimpunan raksasa dirancang di Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

Perhimpunan yang pada awalnya bertujuan membantah kemungkinan kerajaan memeterai perjanjian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu itu telah menjadi majlis kesyukuran.

NGO Gerakan Pembela Ummah (Ummah) merupakan penganjur utama perhimpunan itu yang disokong pembangkang Umno dan PAS yang menjangkakan kira-kira 500,000 anggota parti akan membanjiri jalan-jalan di ibu negara pada Sabtu ini.

Lihat Komen