malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
1MDB masuk sejarah: Muhyiddin minta penjelasan Maszlee
ADS

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata beliau telah menghubungi Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk meminta penjelasan berhubung isu skandal 1MDB dalam sejarah Malaysia.

"Sebagai rakan dan presiden parti saya sudah hubungi Maszlee dan beliau jelaskan kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada soalan (Anggota Parlimen Pontian) Ahmad Maslan.

"Baguslah beliau sudah buat pembetulan," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat bulanan menteri dalam negeri bersama polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam perbualan itu, katanya, Maszlee yang merupakan anggota Bersatu menjelaskan kenyataannya tentang isu itu telah disalah tafsir media.

Justeru, beliau menasihatkan agar media lebih berhati-hati dan tidak memetik kenyataan mana-mana pihak secara salah.

Ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam, Maszlee berkata skandal 1MDB dan jenayah ahli politik lain akan dimasukkan dalam sejarah Malaysia.

Ia bagi menjawab celahan Ahmad Maslan berhubung mata pelajaran sejarah di sekolah swasta.

Beliau bagaimanapun tidak menyebutkan secara spesifik sama ada isu 1MDB akan dimasukkan dalam kurikulum sekolah.

Kenyataan itu tular di media sosial dan dikritik pelbagai pihak, antaranya Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Dr Rais Yatim dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Hari ini setiausahanya Shahrul Aman Mohd Saari berkata kenyataan itu telah disalah tafsir kerana Maszlee hanya menyebut 'sejarah Malaysia', bukannya 'silibus subjek sejarah Malaysia'.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga bekas menteri pendidikan berkata kementerian itu tidak sewenang-wenangnya memasukkan sebarang topik dalam sukatan peljaran.

Sebaliknya, beliau berkata sebarang penambahan atau pindaan akan dibincangkan dalam jawatankuasa khas kementerian itu sebelum diluluskan.

Lihat Komen