Kerajaan negeri Johor tidak akan menarik balik elaun dan kemudahan pejabat yang diberikan kepada Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor memandangkan ia merupakan salah satu pengiktirafan terhadap pentadbiran yang berasaskan sistem demokrasi berparlimen.
Menteri Besar Osman Sapian berkata kerajaan negeri telah memberikan peruntukan RM50,000, mengiktiraf Ketua Pembangkang dengan elaun RM3,000 dan bilik khas sebagai bukti mengiktiraf peranan pembangkang di negeri ini.
Osman merujuk kenyataan Adun Benut Hasni Mohammad ketika sesi perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang menyentuh hasratnya untuk memulangkan semula elaun dan kemudahan pejabat berkenaan.
“Saya menganggap Adun Benut telah gagal melaksanakan tanggungjawab beliau sebagai Ketua Pembangkang yang sepatutnya mengamalkan politik matang dengan memberikan kritikan membina seperti idea penambahbaikan untuk Belanjawan Johor 2019 yang dibentangkan baru-baru ini,” kata Osman dalam kenyataan di Johor Bahru hari ini.
Menyentuh tuntutan ketua pembangkang itu untuk menghadiri Majlis Mesyuarat Tindakan Daerah, Osman berkata hal itu tidak dapat dipenuhi.
Sebagai Ketua Pembangkang, beliau (Hasni) harus faham bahawa amalan demokrasi mempunyai had tertentu, katanya.
“Membenarkan kehadiran beliau dalam mesyuarat sedemikian seolah-olah kerajaan negeri yang ada pada hari ini merupakan kerajaan campuran,” katanya.
- Bernama

