malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kenderaan persendirian jadi bas sekolah wajib daftar - Loke
Diterbitkan:  Dec 4, 2018 4:27 PM
Dikemaskini: 8:27 AM
ADS

Cadangan Kementerian Pengangkutan untuk mewajibkan pendaftaran kenderaan persendirian yang digunakan sebagai bas sekolah, tidak melibatkan kenderaan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Mengulas mengenai salah faham ibu bapa mengenai cadangan tersebut, beliau berkata langkah itu bertujuan mengawal selia kenderaan persendirian terutamanya van yang digunakan sebagai bas sekolah yang selama ini tidak tertakluk kepada undang-undang.

"Untuk ibu bapa yang hantar anak sendiri ke sekolah dan kadang-kadang anak tumpang juga kereta jiran juga...tiada keperluan untuk daftar.

"Yang kita maksudkan adalah kenderaan berbentuk van khususnya yang boleh membawa 15 sehingga 20 orang murid yang sekarang ini mereka tidak berdaftar tetapi digunakan seolah-olah sebagai bas sekolah," katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan kementerian, di Putrajaya hari ini.

Loke berkata pendekatan yang akan diambil bagi melaksanakan cadangan itu sama dengan pendekatan yang akan digunakan untuk perkhidmatan e-hailing, namun mekanisme pelaksanaannya masih perlu diperhalusi.

ADS

Menurut Loke, langkah mendaftarkan kenderaan persendirian terbabit adalah bagi memberi ruang kepada mereka untuk beroperasi secara sah dari segi undang-undang.

"Kita akan bincang dengan pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengenai bagaimana kita hendak laksanakan perubahan ini," katanya.

Loke berkata cadangan itu diutarakan susulan aduan dalam kalangan pengusaha bas sekolah mengenai aktiviti kenderaan persendirian terbabit yang memberi kesan kepada mereka.

Semalam, Loke dilaporkan sebagai berkata Kementerian Pengangkutan bakal melaksanakan program pemutihan terhadap pengusaha bas sekolah yang tidak berdaftar serta tidak mempunyai permit sah, selewat-lewatnya tahun depan.

Katanya pelaksanaan itu bagi memastikan setiap pengusaha bas sekolah mempunyai permit sah selain memastikan pelajar sekolah yang menggunakan perkhidmatan mereka dilindungi insurans.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen