malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Maszlee: Pendidikan Sivik akan diajar semula di sekolah
ADS

WAWANCARA | Kementerian Pendidikan merancang untuk memperkenalkan semula mata pelajaran pendidikan sivik di sekolah, kata menterinya Dr Maszlee Malik.

"Ia tidak akan membosankan (seperti dahulu). Kali ini pelajar akan menikmatinya, dan mereka akan benar-benar bersedia untuk menjadi warga kelas dunia.

"Kami percaya dalam pendidikan sivik ini, pelajar akan belajar banyak perkara...dalam dalam membangunkan mata pelajaran ini, semua pemegang taruh akan diambil kira," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, banyak pertubuhan telah mendekatinya termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), NGO alam sekitar dan pertubuhan masyarakat sivil lain, dan mencadangkan mata pelajaran baru diajar di sekolah.

Antaranya pendidikan hak asasi manusia, alam sekitar, integriti dan pendidikan seks, katanya.

"Kami tidak mahu membebankan anak-anak dengan lebih banyak mata pelajaran, jadi apa yang akan kita buat adalah rangkumkan semua perkara ini dalam satu subjek iaitu pendidikan sivik," katanya.

Kemahiran lain yang mahu dimasukkan Maszlee dalam sukatan pelajaran adalah keselamatan dalam air dan menyelamatkan nyawa.

Katanya, murid sekolah akan diajar berenang, serta kemahiran survival lain seperti rawatan kecemasan.

"Buat kali pertama, kita melengkapkan anak-anak kita dengan pengetahuan yang akan menjadikan mereka warga kelas dunia," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan dilaporkan mahu memperkenalkan kelas renang di sekolah.

Perhatian tentang perkara itu kemudian beralih apabila gesaan Maszlee agar hotel membenarkan pelajar menggunakan kolam renang mereka menjadi tumpuan ramai.


Wawancara 1RUU pinda Auku jangka bentang di parlimen esok - Maszlee

Wawancara 2'Saya jadi presiden UIAM sebab nak laksana kebebasan akademik'

Lihat Komen