malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
500,000 peserta himpunan dikawal 5,000 Pemuda Umno, Unit Amal
ADS

PAS yakin sasaran mereka untuk menghimpunkan setengah juta orang di Kuala Lumpur pada himpunan hujung minggu ini mampu dicapai.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS dijangka dapat membawa kira-kira 300,000 penyokong manakala 200,000 lagi mewakili Umno.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim berkata ia masih di peringkat jangkaan dan bergantung kepada usaha yang dilakukan di peringkat negeri.

"Ini masih anggaran kasar kerana masih bergantung kepada mobilisasi PAS negeri-negeri," katanya di parlimen hari ini.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pula berkata parti itu sudah mengeluarkan arahan sebanyak dua kali untuk anggotanya menyertai himpunan tersebut.

Malah katanya ada kawasan PAS yang sudah menempah 37 buah bas untuk mengangkut penyokong mereka ke Kuala Lumpur.

"Jadi kamu boleh bayangkan orang ramai yang akan datang," katanya juga di parlimen.

Anggota parlimen Kota Bharu itu juga yakin kebenaran diberi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk peserta menggunakan Jalan Raja di depan Bangunan Sultan Abdul Samad itu akan menarik minat lebih ramai orang untuk datang.

"Kami berterima kasih kepada DBKL dan polis yang memberi kebenaran untuk mengadakan himpunan ini.

"Inilah yang dihasratkan daripada kerajaan baru, iaitu menaikkan demokrasi dan bebas berhimpun," katanya.

Sementara itu Setiausaha Agung Umno Annuar Musa pula berkata Pemuda Umno dan PAS akan bekerjasama untuk menjaga peserta himpunan terbabit.

Kata Annuar walaupun Umno bukan menjadi penganjur himpunan berkenaan anggota parti itu akan hadir memberi sokongan kepada PAS.

Katanya Pemuda Umno menggerakkan kira-kira 3,000 anggotanya untuk bekerjasama dengan Unit Amal PAS seramai 2,000.

"Maka ada 5,000 orang yang akan bekerjasama dengan pihak polis," katanya.

Lihat Komen