malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Ustaz, tok guru tak setuju himpunan Icerd tak faham isu'
ADS

Pihak yang meminta himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) pada 8 Disember ini tidak diteruskan tidak memahami isu itu, kata ahli jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Menurutnya, isu Icerd tidak akan tamat dengan keputusan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan Malaysia tidak akan menandatangani perjanjian konvensyen antarabangsa itu.

"Kalau ada suara ustaz-ustaz ke, tok guru ke kata tak payah berhimpun sebab perdana menteri kata tak nak dah (ratifikasi) Icerd, mereka ini tak faham bahawa barang (isu) ini, barang panjang bukan barang pendek.

"Bukan benda yang akan berhenti dengan satu keputusan oleh perdana menteri dan menteri-menteri," katanya ketika menyampaikan ceramah di Ceramah Roadshow Bantah Icerd Parlimen Machang, Kelantan, malam tadi.

Turut hadir sebagai penceramah exco kerajaan negeri Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Ketua Pemuda Umno Kelantan, Nor Hariri Mohamed Noor.

Terdahulu Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menyuarakan pendapat bahawa himpunan yang bakal diadakan pada 8 Disember ini dikhuatiri menjadi medan pihak-pihak tertentu menangguk di air yang keruh.

Menurutnya, mengambil kira ‘ketegangan’ baru-baru ini yang masih belum reda, himpunan itu tidak wajar diteruskan.

"Saya berpandangan tidak perlu diadakan, lebih-lebih lagi suasana agak tegang sekarang ini.

"Kita bimbang takut ada pihak-pihak yang berniat tidak baik, ambil kesempatan untuk menambahkan lagi ketegangan kaum dan (menyebabkan) terjadi perkara-perkara tak diingini," jelasnya.

Kebimbangan itu turut disuarakan Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad menggesa himpunan kesyukuran terhadap penolakan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) yang dijadual 8 Disember ini tidak perlu diteruskan, memandangkan keadaan semasa yang agak tegang.

Beliau berkata, penerusan himpunan itu hanya mengundang "hal yang tidak baik", selain kemungkinan ada pihak tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan.

Sementara itu, Nik Mohamad Abduh yang juga anggota parlimen Bachok berkata, hanya suara rakyat yang boleh menyekat hasrat mana-mana pihak yang mahu supaya Icerd diratifikasi oleh Malaysia.

Katanya, sebelum ini ada jemaah menteri sendiri sudah bercakap mengenai kepentingan Icerd tetapi membuat pusingan U selepas perdana menteri menyatakan bahawa Malaysia tidak akan ratifikasi konvensyen tersebut.

"Bila sampai tahap jemaah menteri bercakap begitu, kita yakin jika tidak ada suara rakyat jangan diharap suara perdana menteri atau menteri-menteri boleh menghalang kehendak pejuang-pejuang hak asasi yang tolak agama.

"Icerd ini dah berpuluh-puluh tahun diperjuangkan golongan pejuang hak asasi manusia, kerajaan BN dulu kadang-kadang dia layan, tetapi tengok (teliti) perkara ini tak boleh. Mereka pun buat senyap atau tolak, yang penting tak ada dalam kerajaan BN.

"Bila kerajaan baru datang, bukan setakat pejuang hak asasi manusia tetapi menteri-menteri pun bercakap untuk sign Icerd, " jelasnya yang turut meminta supaya kira-kira 500 hadirin yang hadir turut serta dalam perhimpunan Sabtu ini. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen