malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lebih baik belanja anak sekolah dari himpunan Icerd
ADS

Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata lebih baik orang ramai menjimatkan wang mereka - terutama menjelang sesi baru persekolahan bulan depan - berbanding hadir di himpunan Sabtu ini.

Kata Mahfuz Omar anak-anak lebih memerlukan peruntukan perbelanjaan berbanding wang yang digunakan untuk datang ke Kuala Lumpur.

Menurutnya himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) yang disertai Umno dan PAS itu sekadar menambahkan perbelanjaan peserta kerana kerajaan sudah berpendirian konvensyen itu tidak akan diterima.

"Kalau datang, mereka terpaksa berbelanja dengan duit poket sendiri, sedangkan dalam suasana ini masyarakat harus menumpukan perbelanjaan untuk pembiayaan persekolahan anak-anak pada sesi akan datang.

"Saya fikir itu merupakan perkara yg harus difikir secara munasabah," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, alasan himpunan itu terpaksa diteruskan untuk mengurangkan kerugian tidak betul kerana langkah meneruskannya membawa kepada lebih banyak kerugian.

"Kalau pun dikatakan telah tempah hotel, saya tak fikir orang yang berdemo datang untuk sewa hotel. Terlalu sedikit mereka yang telah menyewa hotel.

"Begitu juga dengan bas. Saya percaya kalau mereka membatalkan sewaan bas tersebut, saya tak fikir syarikat bas itu akan mengenakan sepenuh harga yang ditetapkan. Jadi itu sudah mengurangkan kos," katanya lagi.

Katanya lagi, sebarang rasa tidak puas hati terhadap segelintir menteri boleh diselesaikan dengan berjumpa sendiri menteri berkenaan.

"Kalau seorang dua menteri jadi masalah buat mereka, takkan nak buat himpunan. Sepatutnya jumpa menteri itu," katanya yang juga naib presiden Amanah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy antara menteri yang menjadi sasaran pihak yang membantah Icerd kerana antara menteri pertama yang mengutarakan perkara itu.

Beliau juga sebelum ini diserang dalam sidang dewan rakyat oleh anggota parlimen pembangkang kerana membangkitkan perkara itu ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2019.

Lihat Komen