malaysiakini logo
story-image
ADS

Di sebalik kisah guru duka lara yang masih ditempatkan di sekolah jauh daripada keluarga, ada pendidik tetap bermotivasi tinggi sedang menabur bakti, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Katanya ketika ini ramai guru dari Sabah dan Semenanjung Malaysia berkhidmat dan berkorban di sekolah pedalaman di Sarawak.

Malangnya kata Maszlee kisah guru terbabit kurang dipaparkan atau dijadikan berita "sensasi" oleh media walaupun mereka boleh dianggap wira.

"Mereka mempunyai semangat yang begitu jitu dalam usaha mendidik anak-anak sekolah.

"Malangnya kita lihat cerita tentang mereka ini kurang dipaparkan dan kurang disensasikan oleh media walaupun mereka ini merupakan hero.

"Saya panggil mereka ini sebagai hero teachers (guru wira)," katanya di Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu, Sarawak hari ini.

Terdahulu anggota parlimen Simpang Renggam itu mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Sungai Selat untuk melihat sendiri keadaan di situ.

Guru berhak dihargai

Guru duka lara merujuk kepada pendidik yang terpaksa bertugas berjauhan daripada pasangan masing-masing atas pelbagai faktor.

Bagi tempoh dua tahun mulai Dis 2015 Kementerian Pendidikan menyatakan hampir 16,000 permohonan pertukaran guru duka lara diluluskan.

Secara keseluruhan kementerian terbabit menerima permohonan daripada pertukaran daripada hampir 30,000 guru duka lara.

Malaysiakini pernah menyiarkan keluhan seorang isteri yang uzur di Kelantan, namun terpaksa berjauhan daripada suaminya ditempatkan di Sabah.


Baca Tujuh tahun derita isteri guru duka lara memanjang


Apabila kerajaan bertukar kepada Pakatan Harapan pada 9 Mei lalu Ruhana Mohamed menyangka kesukaran hidupnya akan berakhir dan suaminya yang bertugas di Beluran, Sabah akan dibenarkan berpindah.

Namun katanya dia terpaksa terus menelan hakikat pahit di Pasir Mas, Kelantan, bersama dua anaknya dan melanjutkan perkahwinan jarak jauhnya. 

Kata Maszlee pada semalam beliau bertemu seorang guru yang sudah berkhidmat selama 28 tahun di kawasan luar bandar di Sarawak dan berjauhan daripada keluarganya di semenanjung.

Katanya guru terbabit cekal bertugas kerana ingin memastikan setiap kanak-kanak di Sarawak mendapat pendidikan sempurna.

"Jadi saya berharap pihak media dapat membantu kami berkongsi dan menghebahkan cerita-cerita kejayaan guru yang dianggap sebagai adi wira ini.

"Mereka berhak dikenali dan dihargai. Mereka adalah wira tidak didendangkan," katanya.

Lihat Komen