malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
MCA: Sampai ke Putrajaya, DAP khianati masyarakat Cina
Diterbitkan:  Dec 1, 2018 6:47 PM
Dikemaskini: 10:50 AM
ADS

DAP telah mengkhianati kepentingan masyarakat Cina sejak menjadi sebahagian daripada kerajaan dan malah tidak membantah dasar yang tidak berpihak kepada masyarakat itu, kata Timbalan Presiden MCA Dr Mah Hang Soon.

Berucap dalam Perhimpunan Agung Tahunan Pemuda MCA, Mah membangkitkan beberapa perkara seperti apa yang didakwanya sebagai dasar yang mengutamakan bumiputra, isu pengiktirafan Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC), dan terbaru isu Icerd dan institusi pendidikan milik MCA - Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) dan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (Taruc).

"Bukan saja DAP tidak membetulkan mereka (kerajaan), tetapi menyokong dan berhujah untuk mereka.

"Semua ini jelas menunjukkan DAP perlahan-lahan mengkhianati masyarakat Cina," katanya.

Kerajaan dalam Belanjawan 2019 memotong peruntukan sebanyak RM24.5 juta terhadap Utar dan Taruc, iaitu daripada RM30 juta pada 2018 kepada RM5.5 juta.

Kata Mah, DAP sekian lama mengecam MCA kerana tidak berani memperjuangkan hak sah masyarakat Cina ketika berdepan dengan Umno.

"Tetapi hari ini DAP, terutama Lim Kit Siang dan anaknya (Lim Guan Eng), sentiasa cuba mengampu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Ini bukan saja menjejaskan hak masyarakat Cina, tetapi membantu kerajaan PH merampas hak sah sedia ada, misalnya penarikan peruntukan untuk Taruc," katanya lagi.

Menurut laporan Berita Harian 24 November lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata keputusan itu berdasarkan pendirian kerajaan untuk tidak lagi membiayai kos operasi dan memperuntukkan RM5.5 juta untuk pembangunan institusi itu.

'Bersatu adalah Umno 3.0'

Mah juga menyamakan peranan Umno dalam BN dengan Bersatu dalam PH, dengan menggelarkan parti serpihan itu sebagai Umno 3.0.

Beliau merujuk sejumlah wakil rakyat - peringkat Parlimen dan juga DUN - daripada Umno yang menyertai parti itu.

Untuk rekod, Bersatu setakat ini memiliki 15 anggota parlimen, jauh lebih rendah berbanding DAP dan PKR yang memiliki lebih 40 kerusi di Dewan Rakyat.

"DAP yang memiliki 42 anggota parlimen sanggup menurut perintah Bersatu dan kerajaan PH bawah Mahathir.

"Maka kita perlu kekal waspada...dengan dasar yang merugikan masyarakat Cina yang dilaksanakan secara diam-diam dengan bantuan DAP, konco paling setia untuk tuan besarnya," katanya lagi.

Lihat Komen