malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Polis Thai: 129 suspek jenayah dari selatan Thai berlindung di M'sia
ADS

Polis Thailand memaklumkan pihaknya sedang memburu sejumlah 129 penjenayah dari selatan negara itu yang disyaki berlindung di Malaysia.

Ketua Polis Wilayah Narathiwat - yang bersempadan dengan Malaysia - Dusedee Susangkit berkata ia melibatkan suspek dengan pelbagai kesalahan termasuk pengedaran dadah dan pembunuhan.

"Kebanyakannya menggunakan 'jalan tikus' untuk keluar masuk (sempadan Thailand - Malaysia) dan mungkin masih aktif khususnya dalam kegiatan penyeludupan di sempadan.

"Mereka semua dalam pemerhatian dan kami sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa di Malaysia untuk mengesan mereka," katanya ketika ditemui Malaysiakini selepas Program Sukarelawan Diraja Thailand di Istana Narathiwat, Selatan Thailand, Selasa lalu.

Kesemua suspek itu mempunyai waran tangkap untuk memudahkan usaha menangkap mereka dengan bantuan Polis Diraja Malaysia, kata Susangkit lagi.

Ditanya mengenai perbincangan antara dua negara untuk membuka laluan 24 jam di sempadan, beliau berkata pihaknya bersedia meningkatkan kawalan keselamatan jika ia dilaksanakan.

Dusedee Susangkit

"Terserah kepada kerajaan dan jika dipersetujui, kami sedia menjalankan tugas bekerjasama dengan Malaysia untuk meningkatkan kawalan," katanya lagi.

Menurut Astro Awani 24 Oktober lalu, kerajaan Malaysia dan Thailand setuju untuk membuka pintu sempadan selama 24 jam sehari demi menggalakkan perdagangan antara kedua-dua negara.

Dalam lawatan ke Bangkok ketika itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata langkah itu termasuk pembinaan dua jambatan merentasi Tak Bai di Pengkalan Kubor dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Kelantan.

'Dadah cabaran besar'

Mengulas kegiatan pengedaran dadah di Thailand, Susangkit berkata ia merupakan cabaran utama mereka memandangkan negara itu menjadi destinasi transit sebelum diseludup ke negara lain.

Ia ekoran kedudukan negara itu yang bersempadan dengan beberapa negara lain di darat.

"Dadah dibawa masuk dari utara dengan pelbagai cara seperti bas dan lori," katanya, sambil menambah bekalan akan disimpan di negara itu sebelum diseludup ke Malaysia.

"Kita sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran khususnya Malaysia dan memberi hukuman berat terhadap pegawai dan anggota yang terlibat (seperti mengambil rasuah)," katanya lagi.

Lihat Komen